
KOTA BHARU: Dato’ Mohd Amar Abdullah menganggap kenyataan yang dikeluarkan seorang ahli keluarga Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Nik Mat, tidak menjejaskan sokongan pengundi terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka dan Panchor.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan individu terbabit sebagai fitnah apabila mendakwa beliau menghalang anak arwah Tok Guru dicalonkan di DUN terbabit.
“Macam mana individu berkenaan boleh mengatakan sebegitu sedangkan dia tidak terlibat dalam mesyuarat pimpinan parti, selain itu tiada jawatan dalam parti.
“Dari mana dia dapat maklumat kononnya ada surat daripada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan sebagainya. Bagi saya perkara itu tidak betul,” katanya selepas majlis memperkenalkan calon DUN di Parlimen Pengkalan Chepa, malam tadi.
Semalam, media melaporkan adik Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz mendakwa Mohd Amar punca menyebabkan Nik Mohamad Abduh tidak dicalonkan pada PRN kali ini.
Dakwaan itu dibuat menerusi rakaman video berdurasi dua minit 33 saat yang tular di WhatsApp sejak petang semalam.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu tidak tersenarai sejak awal lagi sebagai calon di kerusi DUN berkenaan.
Malah, katanya perkara berkenaan telah dijelaskan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. – HARAKAHDAILY 30/7/2023




















