
JANGAN cuba dibawa unsur-unsur kleptokrasi ke Negeri Terengganu Darul Iman yang damai ini.
Rakyat Terengganu terutama golongan belia tidak terpedaya dan terpesona dengan dakyah Ibu Rasuah keturunan kleptokrasi yang masih segar dan mengakar dalam kepimpinan Umno Barisan Nasional (BN).
Kleptokrasi terbaharu datang dari Presiden Umno aka Pengerusi BN aka Timbalan Perdana Menteri yang berucap sewaktu Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) di Kompleks Sukan Ketengah Bandar Al-Muktafi Billah Shah, di sini, Jumaat lalu.
Menggunakan platform Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang mana melaungkan kepada umum bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH). Katanya bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri ini.
Kemudian disogokkan jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan belia dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Dicampur aduk ucapan politik pula yang yakin gelombang biru dan merah akan mengubah ‘pantai politik’ di Terengganu pada PRN kali ini apabila didukung golongan pengundi belia ini turut akan diberikan peruntukan RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di Negeri Terengganu ini.
Sefaham TokLi, agaknya berapa banyak persatuan permotoran di Pantai Timur ini? Agaknya semua dapat atau kroni atau geng nepotisme yang terpilih sahaja?
Inilah gula-gula PRN secara terang-terangan oleh Kerajaan Perpaduan Madani. Makin rosak nampaknya.
Rakyat dan pengundi Terengganu semakin bimbang dengan sebuah pemerintah yang dipimpin ahli-ahli yang korup menggunakan kuasa untuk mempergunakan rakyat dan sumber negara mereka agar dapat menambahkan kekayaan dan tampuk kekuasaan mereka sendiri.
Sistem sebegini biasanya melibatkan penyelewengan simpanan negara sehingga menyusahkan rakyat termasuk menggula-gulakan rakyat menerusi angka-angka yang sangat mempesonakan.
Jika ditelusuri sejarah lampau, TokLi sendiri melihat betapa bagaimana kuasa sering menjadikan pemerintah dan pemimpin lalai dan leka dengan dunia. Mereka lupa kuasa pemerintahan adalah satu bebanan amanah.
Wahai pengundi Terengganu, yang kita impikan adalah;
1. Negara yang selaras antara kebaikan alam dan kebaikan penduduknya.
2. Tempat tinggal yang subur dan makmur namun rakyat tidak lupa untuk bersyukur.
3. Negara yang seimbang kesihatan rohani dan fizikal.
4. Negara yang maju, baik dalam hal ilmu agama mahupun ilmu dunianya.
5. Negara yang pemimpinnya adil dan soleh membolehkan rakyat hormat dan patuh.
6. Masyarakatnya saling mampu melihat kebenaran dan kesahihan.
DATUK RAZALI IDRIS (Tok Li)
Calon N.30 Kijal
Ketua Penerangan BERSATU – HARAKAHDAILY 30/7/2023
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0tb1Fb8c2DXfgc2kydDeFGbMS8eVR7gNy5qoErzTBubwi38bTY2a76d9pNop6RzBBl&id=100063577607309&mibextid=Nif5oz




















