Siti Ashah, Asmadi lawan dua penjuru

Siti Ashah (kanan) dan Khairul Anuar (tiga dari kiri) dalam majlis penamaan calon di Pusat Penamaan Calon, Pejabat Tanah dan Daerah Kulim, Padang Serai, Kedah pada hari ini, 29 Julai 2023.
- Advertisement -

PADANG SERAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas menyaksikan pertandingan dua penjuru antara PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Penyandang DUN berkenaan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali dicabar calon PH,  Asmadi Abu Talib melalui kenyataan yang diumumkan Pegawai Pengurus PRN, N33 Merbau Pulas kira-kira jam 10.30 pagi tadi. 

- Advertisement -

Ashah tiba di Pusat Penamaan Calon, Pejabat Tanah dan Daerah Kulim kira-kira 8.50 pagi dan menyerahkan borang pencalonan untuk semakan pada jam 9.04 pagi.

Sementara proses semakan borang pencalonan selesai pada 9.20 pagi sebelum beliau mencabut undi untuk kedudukan di kertas undi.

Dalam masa yang sama, bagi DUN Lunas, calon PN, Khairul Anuar Ramli akan berhadapan dengan empat calon lain iaitu Shamsul Anuar Abdullah (PH) dan tiga calon Bebas, Rajenderan Nadarajah, Arichindarem Sinappayen dan Pannirselvam  Suppiah. 

Calon PN berarak seawal jam 8.30 pagi diiringi lebih 500 penyokong bermula dari Masjid Kulim ke dataran bersebelahan pejabat daerah berkenaan. 

Dalam pada itu, sepanjang tempoh proses penamaan calon, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Setiausaha Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Nurul Hani Ali serta seorang jawatankuasa lain, Norhafizah Fadzil antara yang turut mengiringi Siti Ashah yang juga Ketua Dewan Muslimat Kedah ke Pusat Penamaan Calon. 

Siti Ashah mula bertanding di DUN yang sama selama empat penggal berturut-turut sejak Pilihan Raya Umum (PRU11) dan berjaya mengekalkan kemenangan bermula PRU13 hingga PRU14.

Beliau juga merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dan diamanahkan sebagai pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan. – HARAKAHDAILY 29/7/2023

- Advertisement -