Pertembungan 2 penjuru di 3 DUN Rantau Panjang

- Advertisement -

PASIR MAS: Pegawai Pengurus Pilihan Raya Negeri bagi tiga DUN di Parlimen Rantau Panjang mengumumkan enam calon layak bertanding mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Kerusi DUN terbabit iaitu Chetok, Gual Periok dan Apam Putra. Calon kedua-dua pihak menyerah borang penamaan calon di Dewan Utama Kompleks Apam Putra, Bandar Baharu.

- Advertisement -

Pengumuman itu masing-masing dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun Chetok, Mohd Sabry Che Musa; DUN Gual, Periok Zairi Abdullah dan DUN Apam Putra, Abdullah Tohir Abdul Aziz.

Keputusan pencalonan itu diumumkan kira-kira jam 10.25 pagi tadi.

Sebelum itu calon PN DUN Chetok, Zuraidin Abdullah menyerah borang pencalonan pada jam 9.02 pagi, diikuti calon Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad jam 9.02 pagi dan calon Apam Putra, Zamakhsari Muhamad pada jam 9.03 pagi.

Calon PH-BN, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi, pula menyerah borang pencalonan pada jam 9.09 pagi, diikuti Anuar Mohamad jam 9.10 pagi serta Dato’ Akhbar Salim jam 9.08 pagi.

Proses penamaan calon hari ini berjalan lancar dengan kawalan ketat pihak berkuasa polis sepanjang proses penamaan calon.

Lebih 2,000 penyokong PN hadir memberi sokongan pada perarakan di pekarangan Dewan Utama Komplek Apam Putra, Bandar Baharu.

Laungan takbir dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW kedengaran sepanjang perarakan menuju ke pusat penamaan calon.

Penyokong PN memakai baju t lambang PAS dan PN. Cuaca cerah menjadikan penyokong bersemangat.

Mereka berarak kira-kira 500 meter ke pusat penamaan calon. Penyokong PH-BN pula hanya dihadiri kira-kira 600 orang. – HARAKAHDAILY 29/7/2023

- Advertisement -