
SUNGAI BULOH: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri berdepan pertembungan tiga penjuru bagi merebut kerusi DUN Paya Jaras pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Dr Halim yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada PAS mencabar penyandang kerusi DUN Paya Jaras, Mohd Khairudin Othman (PH-PKR) dan calon baru daripada PSM.
Beliau mendapat giliran calon nombor satu, sementara Mohd Khairudin calon nombor dua, manakala Norhaslinda Basri dari PSM nombor tiga.
Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan menerima kertas penamaan calon daripada Dr Halim Tamuri pada jam 9.22 pagi, Mohd Khairudin (9.07 pagi) dan Norhaslinda (9.03 pagi).
Selepas semakan dibuat oleh Pegawai SPR tiada kertas penamaan calon yang ditolak.
Sementara, calon DUN Kota Damansara, Mohd Radzlan Jalaludin (Bersatu) turut bertembung tiga penjuru dengan Mohd Izwan Mohd Kasim (PH) dan Sivarajan (PSM).
Pegawai SPR menerima kertas penamaan calon Radzlan pada jam 9.20 pagi, Mohd Izwan (9.05 pagi) dan Sivarajan (9.11 pagi).
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 bermula hari ini selepas pengisytiharan calon yang bertanding berakhir pada 11.59 malam, 12 Ogos.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 12 Ogos dan pengundian awal berlangsung pada 8 Ogos. – HARAKAHDAILY 29/7/2023




















