
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya memperlekeh, menyinggung atau memperolok hal bangsa dan agama sendiri sungguhpun mahu mengambil hati pihak lain.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, sikap demikian hanya mengguris hati orang Melayu-Islam yang akhirnya menunjukkan penolakan kepada beliau dan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Anwar berterusan secara berulang kali menyindir imej kopiah, jubah dan serban dengan kecaman kononnya dengki kepada kerajaan, mengambil gaji tanpa kerja dan mencuri dalam ucapan-ucapannya di pentas politik PH-BN.
Presiden PKR itu bahkan sebelum ini pernah menempelak orang Melayu dengan peringatan supaya tidak merasa angkuh hingga meminggirkan serta tidak meraikan kaum minoriti rakyat yang lain.
“Melayu mana yang angkuh? Melayu mana yang tak ada tidak bertolak ansur? Melayu mana yang melakukan kezaliman kepada orang-orang bukan-Melayu di negara kita? Melayu kitalah Melayu yang paling bertolak ansur.
“Orang bukan-Melayu duk dalam kampung Melayu hidup harmoni sebab orang-orang Melayu ini dia hidup dengan agama. Maka dengan sebab itu mereka tidak akan melakukan suatu perkara yang bertentangan dengan suruhan ataupun ajaran agama.
“Itupun masih kata Melayu yang angkuh? Melayu kita ni begitu banyak bertolak ansur,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai kesal dengan ucapan sedemikian.
Peringatnya, Anwar juga tidak harus menyalahkan Perikatan Nasional dan pemimpin gabungan itu dalam membicarakan mengenai kepentingan dan mempertahankan hal agama, bangsa dan raja atau 3R.
Kerana tegasnya, hal 3R adalah perkara utama dan tonggak dalam Perlembagaan Persekutuan di mana ia mesti dilindungi dari sebarang penghinaan, gugatan atau ancaman oleh mana-mana pihak.
“Apakah bila ada orang menganggap Melayu korup dan bangsa lain baik, kami tidak boleh untuk membela? Apakah bila ada orang macam Lim Guan Eng sebut kalau PN menang akan roboh berhala tokong kami tidak boleh react?
“Jangan sebab kamu nak dapat sokongan bukan-Melayu, kamu bermain di padang yang tidak sama rata. Biar kita berhujah dengan hujah. Jangan apabila kita nak berhujah sedikit akan kamu gunakan agensi-agensi ataupun pihak berkuasa lawan kami.
“Itu sudah bermain atas padang tidak sama rata. Hari ini rakyat makin bijak, makin cerdik. Tak boleh nak paksa rakyat terima apa kamu buat macam pepatah Arab sebut; ‘Kamu boleh paksa kuda pergi tempat minum air, tapi kamu tidak boleh paksa kuda minum air,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/7/2023




















