Calon baru PN Terengganu berazam rampas kerusi BN

- Advertisement -

AHLI perniagaan, Mohd Husaimi Hussin calon PN Hulu Besut berazam untuk merampas kerusi tersebut daripada Dato’ Nawi Mohamad dalam PRU Negeri Terengganu Ogos nanti. Beliau menyatakan keyakinan itu kerana kem BN di sana dilanda ribut sesama mereka. Sokongan juga menunjukkan petanda positif kepada PN. Beliau berhasrat untuk memperbaiki hubungan jalan raya di Hulu Besut yang akan memberi kesan baik yang sangat besar kepada ekonomi sekitar.

Bagi calon Kuala Besut, Haji Azbi Salleh, sudah tidak asing lagi kepada rakyat di sana kerana keterlibatan beliau yang cukup lama bersama PAS Kuala Besut, turut menzahirkan impian yang sama bagi mengalahkan BN. Beliau akan menumpukan kepada pembangunan ekonomi seperti membaik pulih Kuala Besut Square bagi dijadikan pusat perniagaan yang sekian lama terbiar.

Datuk Razali Idris, ditugaskan untuk mengalahkan mantan Menteri Besar, DS Ahmad Said di Kijal mahu membuka lebih peluang kepada belia-belia di Kijal dalam bidang teknologi, terutama berkenaan dengan ‘artificial intelligent’ yang semakin berkembang sekarang. Beliau melihat peluang yang agak sama di Kijal, memandangkan beliau berhadapan dengan Pengerusi Umno Terengganu. Tetapi tetap yakin peluang terbuka luas untuk menang.

Menyelesaikan projek perumahan rakyat sebanyak kira-kira 100 buah rumah teres di atas tanah seluas 10 ekar di Langkap, adalah menjadi wawasan utama Azmi Maarof jika terpilih. Walaupun berhadapan dengan calon ‘heavyweight’ BN, beliau tetap yakin, kali ini, pasukan beliau akan mara sepenuh daya bagi menewaskan BN. Isu lain seperti agihan tanah juga akan beliau selesaikan bagi kemudahan rakyat Langkap.

“Insya-Allah saya nak selesaikan masalah tanah rakyat, nampaknya ada lagi masih belum selesai untuk yang baru. Isu perumahan juga saya nak cuba usahakan lebih baik, generasi kedua, Felda Chalok Barat. Kemudian rakyat luar Felda, dalam 100 buah rumah di atas tanah 10 ekar,” jelas Azmi menyatakan cita-citanya kepada rakyat Langkap.

Kubu kuat BN di Dungun, Bukit Besi, menampilkan kali kedua Haji Ghazali Sulaiman sebagai calon PN untuk merampas DUN itu yang kali terakhir dimenangi tahun 1999. Dengan kerjasama semua jentera Beliau akan menumpukan kepada peluang pekerjaan kepada golongan muda dengan membuka peluang ekonomi dan beliau juga akan memastikan prasarana di kawasan pelancongan sekitar Bukit Besi akan ditambah dan dipertingkatkan mutunya.

Mantan Ahli Parlimen Setiu, Yusop Majid pula menyifatkan peluang beliau di Permaisuri agak seimbang untuk mengalahkan BN kerana Umno sekarang ketandusan pemimpin. Isu yang akan beliau tumpukan ialah meningkatkan pendapatan bagi rakyat yang bekerja sebagai petani, penternak. Bantuan-bantuan yang sesuai bagi memudahkan rakyat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa. Rumah mampu milik juga akan diusahakan agar lebih banyak dimiliki rakyat.

Bagi kerusi Telemong, Cikgu Zawawi Ismail yang pernah menjadi ADUN dua penggal di Kuala Berang menganggap lawan beliau, Dato’ Rozi Mamat sebagai gurunya. Beliau menghormati Rozi tetapi pertembungan ini adalah kerana amanah parti, maka beliau terpaksa menentang gurunya. Hasrat beliau mahu menjadikan satu kawasan di Hulu Terengganu sebagai Bandar DiRaja kerana tiada lagi hal seperti itu di Terengganu. Menurut pandangan beliau, melihat kepada sejarah, Hulu Terengganu sesuai untuk dipilih sebagai Bandar DiRaja. Jika ia direalisasikan, taraf ekonomi rakyat juga akan boleh ditingkatkan.

Sementara itu harapan tinggi diletakkan kepada calon Bukit Tunggal, Zaharuddin Zahid, seorang juru ukur profesional untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi oleh Dato’ Dr Alias Razak selama empat penggal. Walaupun beliau merasa sukar untuk lari dari bayangan Dato’ Dr Alias, namun demi tugas dan amanah yang diletakkan atas dirinya, beliau akan berusaha mengekalkan penguasaan PAS. Hasrat beliau adalah untuk menyelesaikan masalah di Pusat Kesihatan yang agak sesak sekarang. Ini memerlukan kerjasama dari Pusat. Pelancongan pesisir Sungai Terengganu juga akan dikembangkan.

“Tugas berat bagi saya bagi memastikan kesinambungan yang telah dibina oleh Dato’ Dr Alias yang menjadikan Bukit Tunggal daripada kubu Umno kepada kubu PAS. Pusat Kesihatan Bukit Tunggal bagi saya memerlukan kawasan atau fasiliti yang lebih baik kerana ia sekarang sudah sesak. Hal ini memerlukan bantuan dari Kementerian Kesihatan dan saya akan sambung kerja Dr Alias,” jelas beliau mengenai isu awal yang akan cuba beliau selesaikan jika menang.

Semua calon-calon yang pertama kali melafazkan baiah bagi menghadapi pilihan raya terutama dari BERSATU, menzahirkan rasa bimbang jika tidak dapat menunaikan amanah rakyat yang diletakkan di atas bahu mereka. Satu perasaan yang agak menggerunkan hati mereka kerana mereka berjanji dengan nama Allah. Berlainan dengan dahulu, mereka hanya menanda tangani akuan bersumpah dan mungkin dikenakan denda wang sahaja. – HARAKAHDAILY 28/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -