
KUALA KEDAH: PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Kedah disifatkan telah menampilkan calon dan tokoh yang boleh membangkitkan kesedaran rakyat kepada perjuangan Islam dan membawa perubahan kepada politik negara.
Ketua Pemuda PN, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari sehubungan itu menyeru rakyat Kedah memastikan undi diberikan kepada PN pada PRN nanti sekali gus memastikan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dikalahkan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berucap demikian pada Majlis Pengisytiharan Calon DUN Ke-15 PN Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.
“Hari ini orang Kedah mengundi untuk Malaysia (sebab) seluruh Putrajaya sedang berada di Kedah datang turun naik, turun naik kapal terbang silih berganti untuk memastikan mereka dapat merampas negeri Kedah.
“Sehingga ada Menteri yang boleh kita nobatkan sebagai Menteri Hal Ehwal Sanusi. Kerana apa? Kerana kerajaan sudah tidak ada agenda yang lain untuk dipersembahkan kepada rakyat.
“Ini kali pertama kita melihat Perdana Menteri dan barisan kKabinet yang cukup berdendam dengan Pembangkang. Sebab itu rakyat Kedah kena ingat bahawa anda sedang diperlekehkan sedang dihina oleh kepimpinan negara ini di Putrajaya.
“Maka bayar penghinaan ini dengan menghalau keluar PH-BN daripada negeri Kedah. Kerana itulah saya yakin kebangkitan rakyat negeri Kedah pada malam ini ialah satu manifestasi kepada kebangkitan ummah,” ujarnya.
Menurut beliau, Kedah pernah melahirkan Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor sekitar 1990-an yang memberi kesedaran kepada rakyat terhadap kehadiran PAS di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia.
Almarhum kata Ahmad Fadhli, telah menunjukkan bahawa PAS boleh menjadi Pembangkang yang berkesan di Dewan Rakyat menerusi peranan beliau selaku Ketua Pembangkang ketika itu.
Setelah itu ujarnya, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak muncul membawa Kedah ke peringkat Nasional dengan menyerlahkan bahawa orang PAS boleh mentadbir negeri.
“Dan Hari ini kita diberikan tokoh Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang insya-Allah rupanya inilah dia anak Kedah yang telah menggegarkan Putrajaya pada hari ini
“Allah Taala utuskan di Kedah ini rupanya setiap sepuluh tahun, tokoh yang boleh membangkitkan kesedaran rakyat kepada perjuangan Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/7/2023




















