
KUALA KEDAH: PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Kedah membariskan calon-calon yang diyakini mampu merealisasikan gagasan ‘The Greater Kedah’ menerusi pelan pembangunan negeri iaitu Kedah2035.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu, pelan itu akan memandu untuk menjadi negeri yang hebat pada tahun 2035 yang masih berbaki 12 tahun untuk digapai hasrat dan matlamat itu.
“PN membariskan sekurang-kurang 12 kluster kepakaran dan kemahiran calon-calon PN bagi membawa Kedah mencapai negeri maju 2035. Calon-calon dengan kepakaran masing-masing. Pelbagai bidang rentas sektor rentas pengalaman, berbagai usia pelbagai latar belakang.
“Inilah adunan, inilah ramuan, inilah resepi sumber manusia yang akan memimpin PN menjayakan gagasan Kedah2035,” ujarnya pada Majlis Pengisytiharan Calon DUN Ke-15 PN di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.
Jelas beliau, mereka yang kita angkat menjadi calon dalam PRN Kedah ini adalah orang-orang diyakini dan dipercayakan mampu menggalas amanah setiap rakyat negeri Kedah untuk disandarkan harapan.
Juga katanya untuk menjadi pembela kepada rakyat negeri, sekali gus menjayakan gagasan Kedah negeri tempat orang miskin boleh berteduh, tempat orang kaya menabur bakti. – HARAKAHDAILY 27/7/2023




















