Akan ada kebangkitan lebih besar di seluruh negara

Belum pernah dalam sejarah semua Exco disiasat SPRM

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) akan rebah dengan isu unsur nadir bumi (REE) dan litar lumba motor yang sedang dimainkan gabungan itu untuk menghadapi PRN kali ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dua isu tersebut sedang digunakan Setiausaha Agung PKR, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Litar itu dijanji oleh Barisan Nasional, tapi tak jadi. Bila kita buat nak bagi jadi dihalang dengan siasatan demi siasatan,” bidasnya pada Majlis Pengisytiharan Calon PRN PERIKATAN NASIONAL, di sini malam tadi.

Isu REE jelasnya, sudah dilakukan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan.

Malah beritahunya yang juga calon N.24 Jeneri, segala proses dilakukan sudah diakhiri ke Pendakwa Raya Negeri Kedah serta kompaun sebanyak RM500,000 yang juga telahpun selesai dibayar.

“Nak beri gambaran nak beri persepsi. Ada kesalahan besar telah berlaku. Sebab itulah ada tangkapan. Ini semua penyalahgunaan agensi untuk menimbulkan persepsi bahawa kerajaan kita ini tidak bersih.

“Tak ada satu kesalahan, tak dak satu kesilapan, tidak ada satu jenayah boleh dihukum dua kali. Dah hukum dia RM500,000. Dia berhutang. Kompaun dia RM130,000. Dia dah bayar. Ditangkap lagi di bawah SOSMA. Bukan saya nak bela dia, tidak.

“Yang layak di bawah SOSMA, tangkap pi lah berapa ratus orang pun. Tetapi jangan beri gambaran bahawa semua ini berpunca daripada Sanusi. Sekarang ini niat tujuan hasrat mereka yang paling besar ialah pastikan (saya) pakai gari pakai baju oren.

“Saya sumpah akan ada kebangkitan lebih besar daripada ini pada seluruh negara. Kerana saya akan bongkarkan semua kerja jahat ini jika mereka berani pakaikan saya baju oren,” ikrarnya.

Sanusi juga membidas Saifuddin dan Rafizi atas fitnah yang dibuat menerusi tuduhan penyelewengan dana peruntukan Persekutuan di mana ia hanya mencetuskan perbalahan dengan para pegawai kerajaan.

Menurut beliau, strategi PH-BN ketika ini adalah menggunakan semua jentera kerajaan iaitu agensi dan jabatan Persekutuan untuk melakukan kempen dan mengenakan tekanan kepada kerajaan negeri.

“Hari ini besok dalam sejarah negeri Kedah belum pernah lagi tiap-tiap Exco Kerajaan Negeri kena menghadap SPRM. Belum pernah lagi inilah sejarah termasuk yang terpaksa menghadap SPRM (ialah) Penasihat Undang-undang Negeri pun kena.

“Penasihat Undang-undang Negeri ini taraf dia sama macam hakim. Semua isu perundangan, orang akan bawa kepada Penasihat Undang-undang Negeri. Minta pandangan undang-undang.

“Tapi dek kerana terdesak tidak ada isu, tidak ada modal untuk menekan kita, dicipta pelbagai tuduhan dan fitnah sehingga tiap-tiap Exco dan pegawai tinggi kerajaan terpaksa menghadap SPRM.

“Seorang-seorang sampai lapan jam. Nak diadakan tekanan. Besok ada lagi beberapa Exco akan di dipanggil menghadap hanya kerana satu projek yang telah dijanjikan oleh kerajaan dulu. Nak bina satu litar rakyat di Sungai Petani.

“Litar yang tak jadi sejak tahun 2013, janji sampailah Kerajaan PH tumbang, tak jadi-jadi. Mari zaman kita inilah kerajaan telah berjaya melakukan kerja-kerja tanah. Sekarang ini sudah hampir siap.

“Projek itu sekarang terhenti kerana kontraktor dan semua pihak yang terlibat telah dilakukan serbuan, kontraktor pun lari. Guna SPRM dan modal mereka ialah mana janji Sanusi kata trek litar rakyat nak siap dalam tempoh enam bulan? Mana trek?

“Jahat tak jahat karut tak karut? Ini semua pondan. Dia guna agensi untuk menyiasat, untuk menangkap, diambil maklumat, dilontar ke tengah awam, guna media masa, guna majlis ceramah, guna maklumat daripada agensi yang menyiasat,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 27/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -