TG Abdul Hadi, Tun M sepakat perjuangkan Melayu

Tuan Guru Abdul Hadi dan Tun Mahathir dalam program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di I-City Convention Centre, Shah Alam pada 25 Julai 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

SHAH ALAM: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepakat bahawa semangat perjuangan bangsa Melayu perlu diteruskan dalam mengemudi negara ini pada masa hadapan.

Beliau berkata, bangsa Melayu seharusnya mempunyai pemikiran untuk mempertahankan bangsanya sendiri.

- Advertisement -

“Semut (sebagai contohnya) merupakan haiwan yang kecil. Allah SWT kurniakan pemikiran yang bijak yang mana semut ini mempertahankan kaum dan puaknya, (justeru) bagaimana kita manusia Melayu kalau tidak berfikir begitu, lagi teruk daripada semut itu sendiri,” katanya.

Beliau menyatakan bangsa merupakan suatu nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada  setiap manusia, yang mana Islam mengajar untuk bersilaturahim.

“Hubungan silaturahim wajib dalam hubungan antara kaum yang mana agama adalah petunjuk kepada kehidupan kita yang mana kedua dua ini tidak boleh berpisah.

“Bangsa Melayu dan Arab dimuliakan melalui Islam yang mana jika meninggalkan Islam maka hinalah bangsa-bangsa itu sendiri,” tegasnya.

Sementara, Mahathir pula menegaskan bahawa kekurangan budaya berniaga menyebabkan bangsa Melayu ketinggalan dalam ekonomi di negara ini.

“Bangsa Melayu tidak mempunyai budaya perniagaan seperti bangsa-bangsa lain. Bangsa kita tidak kejar kekayaan melalui perniagaan, dan oleh sebab itu bangsa kita kurang cekap dalam bidang perniagaan,” tegasnya.

Menurut beliau, dalam sektor ekonomi negara pada hari ini, bangsa-bangsa lain yang cekap dalam perniagaan telah mengenakan tindakan-tindakan yang merugikan bangsa Melayu itu sendiri.

“Ini yang menyumbang kepada bangsa kita sendiri ketinggalan dalam ekonomi negara itu sendiri.

“Masalah tersebut boleh diatasi dengan langkah yang betul tetapi hanya jika rakyat memberi peluang untuk PERIKATAN NASIONAL (PN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini,” tegasnya.

Tuan Guru Abdul Hadi dan Mahathir berkata demikian dalam program Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk rakyat Malaysia di I-City Convention Centre, di sini, malam tadi. 

Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Proklamasi Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya; dan Presiden Geng Ustaz Cintakan Ulama’, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani. 

Dalam pada itu, Mahathir  juga menyentuh tentang isu hutang negara yang kini melebihi RM1 trilion.

“Isu hutang negara masih boleh diselamatkan tetapi dengan cara yang betul, (sebagai contoh) yang mana saya dilatih sebagai seorang doktor, (jadi) apabila nak merawat mana-mana orang mesti kena tahu apakah (punca) penyakitnya.

“Untuk itu, kita perlu mendapatkan bukti yang kukuh untuk mengenalpasti mana-mana penyakit pun; dan selepas itu baru boleh rancang cara mengatasi masalah-masalah tersebut,” tegasnya. 

Beliau menegaskan agak meragui tindakan kerajaan pada masa ini dalam menyelesaikan masalah hutang negara yang semakin membimbangkan. 

“Dengan kerajaan sendiri yang bersifat kakistokrasi, saya rasa mereka tidak akan dapat menyelesaikan hutang negara yang semakin buruk,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/7/2023

- Advertisement -