
SUDAHLAH diizinkan masuk, menghina Malaysia, kemudian dibenarkan keluar tanpa hukuman.
Begitu lunak layanan kerajaan madani terhadap The 1975 yang sudah terang-terang mempromosikan LGBTQ, menghina agama dan memperlekeh undang-undang negara.
Kesalahan mereka pada malam itu begitu besar dan jelas. Tidak perlu tunggu laporan pada 2 petang.
Mengapa kerajaan tidak menahan The 1975 pada malam tersebut sepertimana mereka boleh menahan Sanusi?
Di mana ketegasan kerajaan dalam menjaga keharmonian negara?
Adakah tindakan tegas dan pantas itu hanya terpakai ke atas musuh politik sahaja? Jangan beri alasan tidak tahu.
Sudah banyak peristiwa tidak senonoh dan kurang ajar telah The 1975 lakukan di negara lain.
Las Vegas, menarik dan mencium seorang peminat wanita di atas pentas. San Diego, cium peminat lelaki.
Denmark, mencium pengawal keselamatan dan melakukan tindakan tidak senonoh terhadap seorang perempuan.
South Korea, buat hantaran pijak bendera Korea yang peminat hadiahkan.
Mereka sememangnya terkenal dengan aksi tak bermoral dan mabuk.
Healy pernah minta untuk ahli band hormat ketagihan dadah dia. Sekarang mereka menyeru pula untuk negara kita terima budaya LGBTQ mereka.
Atas hujah apa kerajaan menerima kumpulan sebegini masuk ke dalam negara? Lalu membiarkan mereka pulang tanpa dikenakan apa-apa tindakan?
Sepatutnya dari awal lagi Kementerian Komunikasi dan Digital tegas dengan keputusan tak izinkan The 1975 masuk ke Malaysia. Tidak perlu tunduk kepada rayuan.
Di mana ketegasan Fahmi Fadzil dan kerajaan yang sebelumnya dengan laju menyekat akaun TikTok YAB Sanusi dan membuat penahanan pada jam 3 pagi? Adakah Menteri Besar Kedah lebih merbahaya kepada negara daripada pejuang LGBTQ ini?
Tepuk dada tanya jiwa anda yang sedang merdeka. Kesongsangan apakah yang sedang melanda negara ini?
NIK NOR NADHIRAH NIK ISMAIL
Timbalan Pengerusi Ameerah Fan Club (AFC) Malaysia – HARAKAHDAILY 26/7/2023




















