Putin tandatangani undang-undang larang tukar jantina

Vladimir Putin (FOTO: AFP)
- Advertisement -

MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menandatangani undang-undang baharu sebagai langkah terakhir sebelum aktiviti penukaran jantina diharamkan secara rasmi di negara itu.

Rang Undang-undang yang ditandatangani Putin pada Isnin (24 Jul) itu telah diluluskan sebulat suara oleh kedua-dua dewan parlimen sebelumnya, yang mana ia melarang sebarang ‘aktiviti mengubah jantina melalui prosedur perubatan’ dan ‘mengubah jantina dalam dokumen rasmi dan rekod awam’. 

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, undang-undang tersebut dikecualikan bagi kes prosedur perubatan berkaitan rawatan kecacatan kelahiran  atau cacat sejak lahir, lapor AP.

Melalui undang-undang tersebut juga, status perkahwinan (menurut undang-undang) akan terbatal sekiranya salah seorang daripada pasangan menukar jantina; yang mana individu transgender juga tidak boleh menjadi ibu bapa angkat atau penjaga.

Larangan tersebut dikatakan adalah sebagai langkah Kremlin bagi mempertahankan ‘nilai tradisional’ di negara itu.

Penggubal undang-undang berkata, ia adalah bertujuan melindungi Rusia daripada ‘ideologi anti-keluarga barat’ yang dilihat menentang nilai asas masyarakat berkeluarga di sana.

Terdahulu, Kremlin telah meluluskan undang-undang melarang sebarang aktiviti mempromosi ‘hubungan seksual yang bertentangan dengan tradisi’ secara terbuka kepada golongan bawah umur pada tahun  2013.

Pada 2020, Putin berjaya meluluskan pindaan perlembagaan mengharamkan perkahwinan sejenis, sebelum menandatangani undang-undang melarang ‘propaganda hubungan seks yang menentang tradisi’ kepada golongan dewasa pada tahun lalu. – HARAKAHDAILY 26/7/2023

- Advertisement -