
RIYADH: Majlis Menteri Arab Saudi memperbaharui semula kecaman terhadap kes al-Quran dibakar di Sweden dan Denmark dalam mesyuarat mingguannya yang dipengerusikan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Majlis yang dianggotai oleh menteri-menteri kabinet itu pada Selasa (25 Jul) menyifatkan perbuatan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang dan adat, yang bercanggah secara langsung dengan usaha antarabangsa menyebarkan nilai toleransi dan kesederhanaan.
Dalam mesyuarat tersebut, kabinet juga mengkaji penglibatan Saudi dalam persidangan antarabangsa mengenai isu migrasi di Itali yang berlangsung pada Ahad (23 Jul) lalu, lapor Arab News.
Ia adalah bagi membincangkan tentang krisis berkenaan dan menyatakan sokongan Riyadh kepada usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menangani isu cabaran keselamatan dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk solidariti bersama.
Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Saud bin Naif telah menghadiri persidangan di Rom itu bagi pihak Putera Mahkota.
Kabinet juga memuji hasil sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk ke-18 dan negara-negara Asia Tengah yang diadakan di Jeddah, yang mengukuhkan tindakan bersama negara Teluk terhadap usaha keselamatan serantau dan antarabangsa yang menghadapi kebimbangan global.
Majlis Menteri itu turut memuji penyertaan antarabangsa yang aktif oleh kerajaan dalam memerangi kesan perubahan iklim, melalui pelbagai usaha untuk mengurangkan pelepasan termasuk mempelbagaikan penggunaan campuran tenaga dan mempromosikan penggunaan teknologi bersih.
Terdahulu, Saudi telah menyertai UN High-Level Political Forum 2023 yang diadakan dari 10 hingga 19 Julai lalu di New York dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG).
Pada mesyuarat itu, Saudi telah mengetengahkan inisiatif Vision 2030 di bawah rangka kerja mencapai SDG termasuk dalam bidang pembangunan manusia, penjagaan kesihatan, dan kepelbagaian ekonomi.
Sehubungan itu pihak kementerian telah meluluskan beberapa memorandum persefahaman (MoU) semasa mesyuarat itu, termasuk memorandum persefahaman (MoU) pengurusan cukai antara Pihak Berkuasa Zakat, Cukai dan Kastam Kerajaan Saudi dan Pejabat Cukai Australia.
Kabinet juga meluluskan MoU antara Pihak Berkuasa Radio dan Televisyen dan Kumpulan Media China untuk kerjasama dalam bidang radio dan televisyen.
Kabinet juga meluluskan MoU dalam bidang memerangi keganasan dan pembiayaannya antara Arab Saudi dan Qatar.
Para menteri membincangkan draf MoU antara Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi dan Kementerian Alam Sekitar Iraq. Menteri kabinet juga menekankan potensi pelaburan melalui Dana Pelaburan Awam Saudi di Iraq.
Kabinet turut membincangkan draf protokol MoU antara Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian Saudi dan Pihak Berkuasa Am Kastam China mengenai keperluan kesihatan untuk mengeksport produk dari Kerajaan ke China.
Anggota kabinet juga memberi kuasa kepada Kementerian Pelaburan Saudi untuk menandatangani draf perjanjian dengan negara Dijbouti, mengenai perlindungan pelaburan dan penggalakan bersama antara Saudi dan Djibouti.
Kabinet memberi kuasa kepada Kementerian Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik Saudi untuk menandatangani draf perjanjian dengan kerajaan Barbados dalam bidang perkhidmatan pengangkutan udara.
Kabinet juga meluluskan pelantikan Timbalan Menteri Pengangkutan dan Logistik bagi Hal Ehwal Jalan Raya, Badr bin Abdullah Al-Dulami sebagai pemangku kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Awam Jalan Raya. – HARAKAHDAILY 26/7/2023











