
SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan obses Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri menyebabkan dia memilih masuk Umno dan bukannya PAS.
Kata beliau, Anwar yang dilihat warak dan sering bercakap mengenai agama sepatutnya menyertai PAS, tetapi memilih Umno di mana itu akan membetulkan kesalahan terdapat di dalam Umno.
“Tetapi sebenarnya bukan dia masuk Umno nak bawa ajaran agama, tidak. Dia nampak, masuk PAS tak boleh jadi Perdana Menteri, masuk Umno boleh jadi Perdana Menteri. Jadi itulah hasratnya.
“Bukan untuk agama, bukan untuk bangsa, bukan untuk negara, tetapi untuk nak jadi Perdana Menteri. Gila-gila nak jadi Perdana Menteri,” ujar beliau pada Townhall Bicara: Negarawan dan Agamawan Untuk Rakyat Malaysia, semalam.
Menurutnya, Anwar mendakwa dalam 10 tahun akan dapat menjadi Perdana Menteri, namun beliau masih kekal menyebabkan Anwar mula memburukkan beliau dengan tuduhan diktator, kroni dan sebagainya.
Katanya, Anwar bukan pilihan rakyat untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi dapat berada di kedudukan itu setelah berpakat dengan parti yang bermasalah hingga mendapat bilangan majoriti cukup.
“Lepas jadi Perdana Menteri, apa yang dia lakukan? Agama pun tidak, yang lain pun tidak. Bahkan nampak mirip kepada budaya Barat yang tak elok sekarang ni, Barat sekarang ni dah runtuh dah.
“Budaya dia, moral dia dah runtuh habis. Termasuk agama-agama dia pun diketepikan. Benda yang dilarang oleh agama dia pun, dia sekarang ni dan orang kita ini nampak untuk nak ikut itu.
“Itulah peranan Anwar dan sebab itu kita berpendapat bahawa adalah lebih baik kita ketepikan orang ini dan kita bekerjasama antara pemimpin (politik), (ahli) agama dengan Perikatan (Nasional),” ujarnya.
Tegas beliau, negara ini mesti kekal asal usulnya dari Tanah Melayu dan tidak patut diserahkan kepada pihak lain, lebih-lebih lagi orang tiada moral dan terlibat dengan perbuatan keji.
Beliau menyifatkan kempen dilakukan atas nama Islam Madani hanya untuk mengumpan dan membuat tarikan sokongan semata-mata, sedangkan segala janji tidak pernah ditunaikan.
Kata Tun Mahathir lagi, walaupun beliau menaikkan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulunya, tapi kini beliau menentang Anwar dan mengajak orang Melayu bersatu menjatuhkan pemimpin tidak bermoral itu. – HARAKAHDAILY 26/7/2023




















