
BETULLAH kata Gus Baha,
“Seribu fatwa haram melacur itu masih kalah dengan satu tandatangan penutupan lokasinya!”
Peristiwa hitam The 1975 adalah bukti jelas. Umat Islam perlu terlibat dalam politik dan gunakan kuasa untuk menghalang kemungkaran.
Ramai mengkritik perbuatan terkutuk penyanyi LGBTQ itu namun sejauh mana suara kita mampu menghalang perkara ini dari berulang?
Adegan berciuman sesama jantina di atas pentas ini hakikatnya hanya boleh dihalang dengan undang-undang yang mencegah, bukan sekadar merawat.
Cegah sebelum jadi. Cegah dari awal. Inilah pendirian PAS meskipun digelar kolot oleh penyembah hedonisme.
PAS dari dahulu konsisten menolak sebarang bentuk hiburan yang merosakkan masyarakat.
PAS sedar pentingnya kuasa pentadbiran dalam melaksanakan syariat Islam secara berkesan.
Dan PAS telah mengambil langkah terkehadapan dengan menguatkuasakan Enakmen Kawalan Hiburan di negeri yang diperintah.
Ramai yang mampu bercakap konon menolak hiburan maksiat, namun tak ramai yang sanggup menjadi perintis seperti ini.
Perlu difahami bahawa PAS tidak pernah mengharamkan hiburan secara total, yang PAS perjuangkan adalah hiburan mengikut syariat.
Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri pernah menyebut,
“Kita halalkan yang halal dan kita tutup yang tak elok melalui enakmen. Nyanyi, berlagu adalah fitrah manusia.”
Hari ini apabila berlaku isu yang menggusarkan hati ibu bapa, sedarlah kita pentingnya penguatkuasaan undang-undang dalam mengurus manusia.
PAS cuba sedaya upaya melakukan satu perubahan walaupun berhadapan dengan kecaman.
Namun yakinlah jika kita istiqamah dan bersatu hati dalam hal ini, tidak mustahil satu hari nanti konsert mengikut peraturan yang digariskan dapat dilakukan.
Ketika itu Malaysia boleh dijadikan model bahawa Islam agama yang selari dengan keperluan dan kehendak manusia tanpa perlu melanggar batasan ketetapan agama.
Indahnya hidup bersyariat!
YB USTAZ MUHAMMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Ahli Parlimen Permatang Pauh
25 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 25/7/2023




















