
BALING: Menteri Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail sengaja membangkitkan isu kecurian unsur nadir bumi (REE) supaya timbul sangkaan rakyat berlaku kesalahan di bawah pentadbiran Menteri Besar.
Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun menjelaskan, syarikat yang diluluskan kerajaan negeri melakukan perlombongan dalam kawasan hutan simpan itu bernama Prospek Suria.
Namun menurutnya, kelulusan itu bukan di zaman pentadbiran beliau tetapi sebelumnya di mana kementerian berkaitan juga tidak menyokong Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dipohon.
“Saya mari-mari (jadi Menteri Besar) dia (Prospek Suria) duk dah situ dah. Dia JV (kerjasama) dengan MBI, Menteri Besar Incorporated,” terang beliau pada Sembang Santai di Kuala Ketil, di sini petang semalam.
Katanya, kecurian terjadi tersebut bukan dilakukan Prospek Suria atau MBI mahupun syarikat bertujuan khas (SPV) yang ditubuhkan, tetapi tanah berlakunya kecurian itu permit penggunaan dipegang MBI.
Permit penggunaan tersebut pula beritahu beliau, adalah untuk membangunkan ladang hutan yang diberi tahun 2016 dan bukannya untuk melombong REE, selain beliau juga bukan Menteri Besar ketika itu.
Bidas Sanusi, pihak penguatkuasa berkenaan telahpun menangkap dan menyiasat pencuri terbabit, tetapi mereka datang bertanya kepada beliau sedangkan patut ditanya kepada pencuri yang ada bersama mereka.
“Kita pun baru jadi MB tiga tahun ni saja, orang mencuri tu polis tangkap dah SPRM tangkap duk kurung. Pilah dakwa dema, cajlah dema pasal apa dema gi buat kerja tu, pasaipa? Gi siasat ambil maklumat itu suruh kita jawab. Kita mana tahu.
“Tapi saya tahu teknik (Saifuddin) ni. Kita beri dia merepek dulu seminggu dua ni. Hujung esok kita beri jawapan. Boleh dia tertiarap terus. Ha kita tunggu. Ha kita bagi dia tertiarap,” peringatnya. – HARAKAHDAILY 23/7/2023




















