
SIK: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan, sehingga kini kertas pertuduhan kes masih belum diterima oleh pihak peguam bela Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Bidas beliau yang telah 30 tahun berpengalaman sebagai peguam, perkara itu tidak pernah berlaku pada masa lalu dan ianya adalah luar biasa serta luar tabii untuk berlaku bagi proses di mahkamah.
“Ini boleh jadi satu perkara yang mereka sedang merekacipta bagaimana nak ubah pula, nak pinda pula tuduhan-tuduhan yang dikenakan ke atas pemimpin-pemimpin kita,” ujarnya pada Taujihat Pimpinan di Dewan Al-Hana, di sini semalam.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahkan juga kata Takiyuddin, selama ini semasa menjadi pembangkang, beliau adalah individu paling kuat mendesak kerajaan menghapuskan Akta Hasutan 1948.
Tetapi kini kesalinya, pertuduhan ke atas Sanusi itu menggunakan akta hutan rimba tersebut yang bukannya untuk menjaga keselamatan negara, tetapi demi menjaga keselamatan mereka sendiri.
Menurut bekas Menteri Undang-undang itu, Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sedang cuba menghilangkan keyakinan rakyat kepada para pemimpin Perikatan Nasional (PN) sejak pasca-PRU15.
Jelasnya, mereka bukan sahaja mencari salah, tetapi yang tidak bersalah juga dibuat satu kesalahan dan membawa kes-kes ke mahkamah bermula dengan tuduhan ke atas Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Namun setelah itu katanya, apabila kes ke atas Datuk Wan saiful tersebut gagal menjejaskan sokongan rakyat kepada PN, mereka mengenakan pula kes kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kes Tan Sri Muhyiddin ini mudah je nak faham. Orang kampung boleh faham. Tan Sri Muhyiddin dituduh menyalahgunakan kuasa semasa dia jadi Perdana Menteri dalam perkara yang dia tak dak kuasa. Dituduh menyalahgunakan kuasa dalam perkara yang dia tidak ada kuasa.
“Yang mana kuasa itu ada kepada Menteri Kewangan, sedangkan Tan Sri Muhyiddin adalah Perdana Menteri. Dia tak jadi Menteri Kewangan. Banyak tuduhan dibuat. Kononnya, dituduh mengumpulkan kewangan dimasukkan di dalam akaun BERSATU.
“Saya nak beritahu di Malaysia ini tidak ada satu pun undang-undang yang menyekat parti-parti politik mengumpulkan dana. Tak ada akta dana politik, tidak ada di Malaysia. Kalau parti itu pandai kutip, kutip derma sebagainya, banyaklah duit dia.
“Tidak menjadi satu kesalahan. Bukan dia masuk dalam akaun (peribadi) dia. Akaun parti BERSATU. Adakah itu satu kesalahan? Tidak. Sudah tentu tidak. Tapi itulah yang mereka buat. Mereka nak hebahkan Presiden BERSATU, Pengerusi PN pun juga kena tuduh dalam kes rasuah.
“Tak kira salah tak salah. Mereka nak burukkan imej pemimpin kita,” ujarnya menyambung cerita terhadap usaha serupa dibuat terhadap Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin.
Bagaimanapun kata Takiyuddin, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang isu untuk dipertuduhkan kepada Hamzah menyebabkan beliau dikait pula dengan pihak lain.
Ceritanya, seorang berbangsa Cina yang tiada kaitan dari segi jawatan politiknya telah dituduh menerima rasuah kononnya diberikan Hamzah untuk mendapatkan projek di bawah Kementerian Dalam Negeri.
“Itu tuduhannya. Duit pun tak bagi, lulus projek pun tak ada, tapi dikaitkan dengan Setiausaha Agung kita. Nak mencemarkan imej kita, integriti kita. Jadi itu yang dibuat di oleh kerajaan Madanon sekarang ini,” ujarnya.
Kini katanya, tuduhan dikenakan ke atas Sanusi adalah kerana beliau juga merupakan orang yang mereka rasa bertanggungjawab besar memberikan kemenangan kepada PN dalam PRU15 baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 21/7/2023




















