Harga barang naik, menteri di planet mana?

- Advertisement -

Sudah beberapa kali penulis menulis tentang isu menteri dan kerajaan yang tidak percaya rakyat sedang menderita akibat kenaikan harga barang.

Beberapa bulan lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, semasa sidang Parlimen secara rasmi telah menafikan harga barang naik.

- Advertisement -

Penulis sangka selepas beberapa bulan rakyat bising, mereka akhirnya mengakui situasi ini. Rupanya sehingga hari ini pun menteri masih menafikan berlaku kenaikan harga barang.

Baru-baru ini, dalam beberapa siri himpunan prapilihan raya PH-BN, ada lagi kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri yang sama yang tetap menafikan harga barang tidak naik seperti yang didakwa. Malah mereka menuduh semua ini hasutan pembangkang.

Tidak tahu mengapa, seolah-olah tiada maklumat langsung daripada pegawai-pegawai beliau bahawa memang berlaku kenaikan harga ini. Ini menimbulkan persoalan mengapa ada perbezaan antara maklumat rakyat dan menteri?

Itu belum lagi media sosial pengampu PH-BN yang turut sama memuat naik segala bahan yang menafikan berlaku kenaikan harga barang.

Situasi ini mengingatkan penulis kepada sebuah buku popular berjudul ‘Man are from Mars (Marikh), Women are from Venus (Zuhrah)’ yang ditulis oleh John Grey pada tahun 1992.

Buku tersebut membincangkan betapa lelaki dan perempuan mempunyai perbezaan yang sangat besar, namun masing-masing tidak tahu bahawa mereka sangat berbeza.

Antaranya dalam buku itu dikisahkan pasangan kekasih tersesat jalan. Perempuan itu cuba membantu lelaki itu membaca peta sehingga sampai ke destinasi. Namun perempuan itu pelik kerana apabila tiba di destinasi, teman lelakinya tidak ceria dengan apa yang berlaku.

Sebenarnya dalam dunia perempuan, pertolongan seperti itu adalah tanda kasih sayang dan prihatin. Namun dalam dunia lelaki yang penuh ego, bantuan itu seperti satu penghinaan seolah-olah tidak berkeupayaan untuk menyelesaikan sendiri masalah yang dihadapi.

Sehubungan itu, digambarkan seolah-olah lelaki dari Marikh, sedangkan perempuan dari Zuhrah yang akhirnya mereka bertemu di bumi untuk hidup bersama dalam keadaan mereka lupa bahawa dunia mereka sebenar jauh berbeza.

Itu sebabnya penulis katakan bahawa situasi kenaikan harga barang ini umpama menteri itu datang dari Marikh, manakala rakyat dari Zuhrah sehinggakan dalam keadaan rakyat bising dengan harga barang naik, menteri kata harga barang tidak naik.

Menteri duduk di mana sebenarnya? Rakyat pula duduk di mana sebenarnya? Sehinggakan menteri mati-mati tidak percaya harga barang sudah naik. Sedangkan rakyat menjerit-jerit memberitahu harga barang naik.

Adakah menteri dan penyokong PH-BN membeli di kedai yang berbeza dengan rakyat sehingga rakyat mendakwa harga barang naik tetapi mereka kata harga barang tak naik?

Beberapa hari lepas, penulis membuat tinjauan di sekitar Negeri Sembilan dan mendapatkan maklumat daripada peniaga bahawa memang berlaku kenaikan harga barang. Sebagai contoh, mi segera yang menjadi makanan masyarakat marhaen pun naik harga.

Pelik betul. Adakah menteri mahu rakyat jadi seperti zombi yang akan mengikut kata-kata mereka bahawa harga barang tidak naik sedangkan realitinya harga barang naik? – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -