
KUALA LUMPUR: Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa simpati kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang telah didakwa di bawah Akta Hasutan.
Nampaknya, kata beliau kerajaan Madanon hari ini semakin galak menggunakan instrumen undang-undang untuk menekan lawan politik mereka,
Ini, katanya sama sekali bertentangan dengan janji reformasi yang dilaungkan oleh mereka dahulu termasuk untuk menghapuskan Akta Hasutan.
“Inilah wajah sebenar mereka untuk ditatap oleh rakyat,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa antara dasar dan prinsip perjuangan PN yang utama ialah untuk menjunjung, memelihara dan mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.
Tegasnya, prinsip itu akan terus dipertahankan.
“Dalam menjunjung semangat ini, saya juga berdoa semoga sahabat saya Dato’ Seri Muhammad Sanusi mendapat keadilan di mahkamah,” ujarnya yang juga Presiden Bersatu.
Muhyiddin juga mengajak seluruh rakyat supaya bersama-sama bermunajat dan mendoakan keselamatan Sanusi serta kekal bertenang.
Semalam, Muhammad Sanusi yang ditahan polis jam 3 pagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen, Selayang. – HARAKAHDAILY 19/7/2023




















