Ditangkap: Satu komplot bina naratif berlaku kesalahan

Sanusi betulkan kenyataan Ketua Polis Negara

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan tangkapan dibuat ke atas beliau adalah satu komplot untuk membina naratif bahawa telah berlaku satu kesalahan.

Beliau bahkan membetulkan kenyataan konon telah menolak panggilan telefon dibuat kepada beliau hingga tangkapan tersebut terpaksa dibuat sebagaimana kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Jelasnya, beliau telah berkomunikasi dengan seorang Pegawai Polis daripada Bukit Aman sejak jam 10 malam hingga 2 pagi hari kejadian, malah meminta agar tidak melakukan tangkapan ke atas dirinya.

Sanusi turut memperincikan maksud komplot dinyatakannya itu dengan memberitahu bahawa kes tersebut didaftarkan di Mahkamah Sesyen Selayang selepas jam 5 petang yakni di luar waktu pejabat.

Selain disifatkannya jarang keadaan seperti itu berlaku, beliau juga hanya mengetahui perlu hadir ke mahkamah tersebut melalui berita atas talian, tanpa ada notis disampaikan kepadanya.

Ceritanya, beliau pada hari tersebut mengikuti tiga mesyuarat sejak pagi dan ketika mesyuarat tersebut menerima panggilan daripada Pegawai Polis berkenaan di mana semua komunikasi direkodkannya.

Menurutnya, selepas selesai mesyuarat jam 11:40 malam, beliau mahu pulang ke hotel kerana perlu mandi dan berehat tetapi telah diminta hadir ke Balai Polis Sri Hartamas atau mana-mana balai polis.

Katanya, beliau diberitahu ia bertujuan menyambung keterangan atas siasatan dijalankan terhadapnya, namun beliau menduga tangkapan kerana keterangan harus diberi dalam siasatan yang spesifik.

“Jadi saya beri jaminan 100 peratus pukul 9 pagi saya akan berada di Mahkamah Sesyen Selayang. Tak perlu tangkap saya, saya nak lari mana? Saya kan Menteri Besar? (Tetapi) Dia (pegawai itu) tetap nak suruh saya hadir (ke balai).

“Sebab saya seboleh-bolehnya saya tak mahu ditangkap. Saya warganegara yang baik. Saya sentiasa beri kerjasama kepada polis. Saya tak pernah lari sekali pun. Jadi tak tak masuk akal, nak tangkap saya,” ujarnya.

Cerita beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, sebelum itu pada jam 12:30 malam ada menghantar pesanan menerusi WhatsApp untuk beliau tidak ditangkap kepada seorang Pegawai Tertinggi Polis.

“Dato’ Seri tolong jangan buat (tangkapan) malam ni kerana esok saya akan hadir ke Mahkamah Seksyen Selayang. Apa-apa proses siasatan lanjut boleh buat selepas tu. Sekarang ni dah terlalu tengah malam.

“Saya daripada pagi tak ada rehat lagi. Takkan nak nak suruh sambung keterangan jam macam ni? Kita jumpa lepas kes mahkamah esok bagi keterangan lagi,” ujarnya memberitahu mesej disampaikan itu.

Namun sambungnya, bilik penginapan tersebut telah diketuk pihak polis jam 2:30 pagi dan beliau meminta izin mandi dan minum secawan kopi sebelum mengikuti mereka yang akan membawanya.

Hormat, puji profesionalisme PDRM

Puji Sanusi, beliau menghormati tugas sedang dilaksanakan para pegawai dan anggota polis yang menahannya dan menyifatkan mereka sangat profesional di mana bertindak kerana menjalankan tugas.

Cuma katanya, kedatangan polis yang ramai tersebut boleh memberi anggapan kepada orang awam bahawa yang akan ditahan adalah penjenayah, bagaimanapun ketika itu tidak ramai orang di situ.

“Kita kata jangan gari. Kalau gari ni nampak macam penjenayah sangat. Tolong jangan gari. Dia tak garilah bawa di balai polis Gombak pun tak masuk lokaplah. Dia letak dalam bilik mesyuarat,” jelasnya.

Di situ, Sanusi memberitahu beliau diambil keterangan dari empat soalan membabitkan ucapannya di Kelantan yang menyatakan orang bukan-Islam lebih ramai terlibat memberi dan mengambil rasuah.

Jelasnya, ucapan beliau itu berdasarkan fakta dan data antaranya dari satu artikel pernah ditulis Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri yang pernah dibacanya.

“Dia orang (para pegawai dan anggota polis itu) pro (profesional)lah. Dia orang pun saya nampak sangat rasa bersalah. Mereka bekerja atas arahan kan. Saya pun kesian kat depa. Saya nak cerita lebih-lebih pula takut depa kena pula.

“Mereka itu semua rakan-rakan saya yang bekerja secara profesional, penjawat awam yang tak saya cari apa masalah dengan depa dan kita cuba saya faham kerja depa. Masalah ni masalah pihak yang lebih ataslah.

“Yang mengarahkan perkara-perkara macam tu mereka terpaksa lakukan. Dakwaan IGP (Ketua Polis Negara) bahawa saya menolak call, reject call, tak mahu bekerjasama, sama sekali tidak benar.

“Dan semua WhatsApp, saya print screen WhatsApp tu saya saya hantar kepada Pegawai Kanan Polis, untuk dia maklumkan kepada IGP kelmarin. Tapi nampak macam tak ada pembetulan. Hari ni saya habaq lah.

“Tapi WhatsApp tu saya tak nak kongsilah untuk menghormati saya dengan polis,” ujarnya menegaskan beliau tidak mahu bergaduh dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tetapi selorohnya sedia bergaduh dengan Menteri yang jaga PDRM.

Diminta menyentuh permohonan ampunnya kepada Sultan Selangor, beliau menjelaskan bahawa ianya adalah adab orang Melayu kepada Raja di mana tanpa berbuat salah juga akan sentiasa merasakan sembah ampun. – HARAKAHDAILY 19/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -