
KUALA LUMPUR: Pendedahan seorang aktivis politik mengenai rumah didiami Dato’ Seri Anwar Ibrahim dikatakan milik seorang lelaki Cina di Kajang perlu dijelaskan Perdana Menteri bagi mengelakkan kekeliruan.
Lebih membimbangkan lagi banglo terbabit dikatakan dimiliki individu yang dikatakan seorang ahli perniagaan.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, Perdana Menteri (PM) wajar menjawab isu terbabit termasuk dakwaan menggunakan beberapa kereta mewah.
Katanya PM wajar membuat penjelasan berhubung pemilikan kediaman tersebut di Kajang dan kenderaan mewah bagi mengelak pelbagai tohmahan.
“Kalau ada pajakan PMX kena terang dan jelaskan bagi mengelakkan tohmahan berterusan sehingga boleh menjejaskan institusi Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) mendedahkan perkara itu berdasar siasatan yang dilakukan.
Chegubard menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat PMX berhubung pemilikan kediaman didiami Perdana Menteri di Kajang, Selangor.
Selain itu kereta Jaguar yang didakwa dimiliki Yayasan Aman Berhad, yang mana Anwar merupakan penasihat dan sebuah BMW dikatakan dimiliki seorang ahli perniagaan.
Ekoran pendedahan itu peguam PMX, Datuk Sankara Nair dilapor memberitahu Perdana Menteri memajak banglo dua tingkat di Bandar Sungai Long, Kajang selama 10 tahun.
Idris juga berkata, pendedahan isu tersebut dianggap tidak salah kerana ia sekadar siasatan yang dilakukan rakyat dan perlu penjelasan lanjut Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor pula berkata, rakyat berhak mengetahui kedudukan sebenar isu berkenaan selaras dengan Malaysia Madani.
“Setakat ini belum ada bukti hitam putih banglo di Bandar Sungai Long, Kajang dipajak Perdana Menteri.
“Rakyat menunggu dokumen mengenainya. Sedangkan perkara ini sudah sampai kepada pengetahuan SPRM dan polis,” katanya.
Menurutnya negara akan mundur ke belakang sekiranya suara-suara kebenaran disekat. – HARAKAHDAILY 18/7/2023




















