
GENEVA: Penyakit AIDS boleh dihapuskan menjelang tahun 2030 dengan kaedah paling jelas ke arah itu adalah dengan pelaburan dan kemahuan politik.
Program Gabungan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap HIV/AIDS (UNAIDS) berkata, menurut laporan baharu PBB yang dikeluarkan pada Khamis (13 Jul), dianggarkan seramai 39 juta orang di seluruh dunia hidup dengan HIV pada 2022.
“Kira-kira 1.3 juta individu baharu dijangkiti HIV dan 630,000 mati akibat penyakit berkaitan AIDS sepanjang 2022,” ujar laporan itu.
“Menghentikan AIDS adalah pilihan politik dan kewangan. Negara dan pemimpin yang sudah mengikuti jalan itu mencapai keputusan yang luar biasa,” tambah UNAIDS, menurut laporan Reuters.
Kemajuan paling kukuh di negara dan wilayah yang mempunyai pelaburan kewangan paling banyak, seperti di timur dan selatan Afrika, lokasi di mana jangkitan HIV baharu telah dikurangkan sebanyak 57 peratus sejak 2010, menurut laporan itu.
Hampir satu perempat, iaitu 23% jangkitan HIV baharu dikesan di Asia dan Pasifik, di mana jangkitan baharu meningkat dalam angka yang ‘mengerikan’ di sesetengah negara.
“Peningkatan mendadak dalam jangkitan baharu HIV berterusan di Eropah timur dan Asia tengah, Timur Tengah dan Afrika Utara,” kata laporan itu lagi.
Tambah UNAIDS, trend itu disebabkan terutamanya oleh kekurangan perkhidmatan pencegahan HIV untuk populasi terpinggir dan utama serta halangan yang ditimbulkan oleh undang-undang punitif dan diskriminasi sosial.
“”Terdapat ancaman pasti untuk mencapai penghujung AIDS menjelang 2030 Jika kita tidak menutup jurang antara semua populasi,” ujar Penolong Setiausaha Agung dan Timbalan Pengarah Eksekutif UNAIDS, Angeli Achrekar.
Laporan itu juga memberi amaran bahawa penamatan AIDS tidak akan datang secara automatik.
“Kira-kira 9.2 juta orang masih terlepas rawatan, termasuk 660,000 kanak-kanak yang hidup dengan HIV, menurut laporan itu lagi.
“Kini terdapat peluang untuk menamatkan AIDS dengan meningkatkan kemahuan politik dengan melabur dalam tindak balas mampan terhadap HIV melalui pembiayaan perkara yang paling penting, pencegahan dan rawatan HIV berasaskan bukti, integrasi sistem kesihatan, undang-undang tanpa diskriminasi, kesaksamaan jantina dan komuniti yang diperkasakan,” kata UNAIDS. – HARAKAHDAILY 14/7/2023




















