Lembah Sireh sedia 2,000 peluang pekerjaan

Terminal Bas Lembah Sireh.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi mereka yang sudah lama tidak menjejaki Bandar Kota Bharu pastinya terkejut. Banyak bandar baharu muncul melengkapi pembangunan ibu kota negeri Kelantan.

- Advertisement -

Lebih mengejutkan lagi kawasan pertanian dan penternakan di Lembah Sireh di lembangan Sungai Kelantan sudah jauh berubah wajah.

Sebelum ini penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan termasuk Kampung Sireh bercucuk tanam dan menternak lembu di lokasi tersebut.

Setiap kali musim tengkujuh lokasi terbabit sering ditenggelami air bah.

Namun, selepas kawasan itu dibangun syarikat Liziz Sendeco Sdn Bhd akhirnya muncul sebuah lagi pusat pertumbuhan baharu di Kota Bharu.

Bandar Baharu Lembah Sireh sehingga sekarang menawarkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 2,000 penduduk tempatan dan dari luar Kota Bharu.

Sedangkan sebelum ini hanya beberapa penduduk sahaja yang mencari rezeki dengan bercucuk tanam dan menternak lembu di Lembah Sireh.

Kejayaan itu biarpun cuba diperlekeh pihak tertentu setiap kali menjelang pilihan raya, namun ia tidak diendahkan rakyat Kelantan yang mendapat banyak laba ekoran kemunculan Bandar Baharu Lembah Sireh.

Lembah Sireh terdapat dua pasar raya besar iaitu Lotus’ Malaysia dan AEON. Di samping itu juga terdapat aneka jenis kedai, restoran, butik, pejabat dan pelbagai lagi.

Di situ juga terdapat Terminal Bas Kota Bharu yang menjadi tumpuan ramai setiap malam dan awal pagi. Kesesakan begitu ketara pada hujung minggu dan musim perayaan.

Selain itu terdapat dua kampus yang beroperasi di kawasan terbabit itu Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kota.

Peluang pekerjaan

Tinjauan Harakahdaily ke Lembah Sireh mendapati deretan kedai dan pejabat beroperasi di kawasan itu menawarkan banyak peluang pekerjaan.

Turut menarik perhatian ramai premis gym dan kafe hipster yang banyak muncul di Kawasan berkenaan.

Seorang peniaga kedai makan Ayu Abdullah, 30, berkata, beliau bersyukur kedai yang diusahakan bersama suami semakin mendapat sambutan.

Katanya, beliau berniaga kedai makan sejak beberapa tahun lalu turut menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

“Alhamdulillah Lembah Sireh semakin pesat membangun. Banyak penduduk dapat mencari rezeki di sini,” katanya ketika ditemui.

Kakitangan sebuah pusat ‘gym’ Muhammad Imam Muslim, 25 berkata, ramai anak muda mengisi peluang pekerjaan yang semakin berkembang di Lembah Sireh.

Katanya, beliau bersyukur dapat bekerja di negeri sendiri tanpa perlu merantau ke tempat lain untuk mencari rezeki.

“Alhamdulillah, saya tidak melepaskan peluang yang ada. Saya bekerja di sini sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Menurutnya juga biarpun ada pihak memperlekehkan kerajaan negeri, namun penduduk dan anak-anak muda yang dapat mencari rezeki di Lembah Sireh lebih tahu kedudukan sebenar.

Malah ramai lagi anak muda yang ditemui memberitahu mereka tidak perlu lagi berhijrah ke Pantai Barat mencari rezeki memandangkan banyak peluang pekerjaan boleh diteroka di tempat sendiri. – HARAKAHDAILY 13/7/2023

- Advertisement -