
KOTA BHARU: Bekas Adun Ayer Lanas Dato’ Seri Mustapa Mohamed (Tokpa) tidak akan mempertahankan lagi kerusi Dun terbabit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini kerana faktor kesihatan.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Dato’ Kamaruddin Md Nor berkata, bekas Ahli Parlimen Jeli itu memaklumkan mengenai perkara berkenaan sebelum ini.
“Dato Seri Mustapa memaklumkan kepada pimpinan PERIKATAN NASIONAL (PN) Pusat dan negeri, beliau tidak akan bertanding lagi atas faktor kesihatan,” katanya di sini.
Sebelum ini Mustapa mewakili dua kerusi serentak iatu parlimen Jeli dan Dun Ayer Lanas pada penggal lepas. Beliau mempertahankan parlimen Jeli sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 sehingga PRU 2018.
Sepanjang kariernya beliau pernah dilantik sebagai menteri di pelbagai kementerian dan terakhir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Pernah juga dilantik sebagai Senator selepas gagal mempertahankan parlimen Jeli pada PRU 1999.
Kamaruddin berkata, Bersatu akan menampilkan calon terbaik untuk mempertahankan Dun Ayer Lanas dan merampas kerusi-kerusi lain pada PRN ini.
Katanya, pihaknya akan memuktamadkan pemilihan calon Bersatu dalam tempoh seminggu lagi.
“Kita sudah ada senarai pendek calon dan sekarang hanya perlu memuktamadkan sahaja. Justeru kita berharap semua calon yang terpilih dan tidak terpilih berlapang dada.
“Kita yakin dalam Bersatu tidak ada budaya ‘cah keting’ sebaliknya semua akan berjuang demi kelangsungan parti,” katanya.
Sementara itu Mustapa ketika ditemui media memaklumkan beliau tidak akan bertanding pada PRN kali ini dan sudah bersara sebagai wakil rakyat.
“Saya tidak bertanding pada PRN ini kerana sudah pencen dan masalah kesihatan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/7/2023











