
GENEVA: United Kingdom, Amerika Syarikat dan beberapa negara anggota Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa (11 Julai) menolak usul mengutuk pembakaran al-Quran semasa perbahasan pada Selasa (11 Julai) yang mendesak perkara itu di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perbahasan itu diadakan selepas Pakistan mengemukakan permintaan rasmi lewat Isnin (10 Julai) bagi pihak negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk ahli yang menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB, susulan peningkatan jumlah serangan terhadap kitab suci umat Islam itu.
Terdahulu, OIC menyeru negara-negara itu untuk mengutuk serangan yang menyasarkan al-Quran, menyifatkan mereka sebagai ‘tindakan kebencian agama’, lapor Anadolu Agency.
Beberapa negara anggota EU serta AS dan UK itu mengumumkan bahawa mereka akan mengundi menentang draf resolusi mengenai kebencian agama berikutan insiden pembakaran al-Quran.
Selepas lanjutan ucapan oleh beberapa negara, Majlis tersebut memutuskan untuk bersidang semula pada hari ini, Rabu (12 Julai) bagi mengundi rang undang-undang kutukan yang dikemukakan OIC itu.
Berucap pada sesi tergempar mengenai tindakan kebencian agama di Majlis Hak Asasi Manusia PBB melalui mesej video, Timbalan Menteri luar Türkiye, Yasin Ekrem Serim berkata: “Kami sangat mengecam pembakaran al-Quran di tempat awam baru-baru ini (di Sweden) , yang merupakan manifestasi jelas peningkatan kebencian terhadap agama.”
Beliau menegaskan bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana kitab suci bercanggah dengan prinsip toleransi, keamanan sosial dan menghormati maruah manusia.
“Kebebasan bersuara adalah asas masyarakat, tetapi ia tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian.
“Adalah tidak boleh diterima untuk membenarkan tindakan ini atas alasan kebebasan bersuara. Kami menyeru semua pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pelaku perbuatan ini dan mengelakkan kejadian sebegini berulang lagi,” katanya.
Pada bulan lalu, bekas warga Iraq, Salwan Momika membakar senaskhah al-Quran dalam insiden yang diletakkan di bawah perlindungan polis Sweden di hadapan Masjid Stockholm di negara itu.
Perbuatan provokasi jahat itu dilakukan pada Aidiladha, salah satu perayaan agama Islam utama yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia.
Ia menimbulkan kecaman meluas dari seluruh dunia Islam termasuk Türkiye, Jordan, Palestin, Arab Saudi, Maghribi, Iraq, Iran, Pakistan, Senegal dan Mauritania. – HARAKAHDAILY 12/7/2023




















