Jumlah pelaburan Selangor merosot suku pertama 2023

- Advertisement -

SELAYANG: Selangor merosot kepada kedudukan ketiga berkaitan jumlah pelaburan bagi tiga bulan pertama tahun ini.

- Advertisement -

Kedudukan itu berdasar perangkaan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Kemerosotan pelaburan menyebabkan ramai anak muda kehilangan pekerjaan.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam tempoh tersebut Wilayah Persekutuan mencatat jumlah pelaburan tertinggi iaitu RM22 bilion dan diikuti Johor RM11 bilion.

“Belum pernah Selangor jatuh ke kedudukan seperti itu, namun ia berlaku di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada Program Jelajah Selangor Baharu Kita Bangkit! Selayang di Simpang 4 Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara malam tadi.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, mantan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia dan MIDA, Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM7 bilion sepanjang tempoh tersebut.

Azmin yang juga bekas ahli parlimen Gombak berkata, apabila pelaburan merosot, anak-anak muda akan hilang peluang pekerjaan.

Menurutnya juga kerajaan hendaklah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja-pekerja asing bagi menggerakkan ekonomi di negara ini.

“PN akan berusaha untuk mendapat jumlah pelaburan yang tinggi ke Selangor bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja-pekerja asing sekiranya diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos.

“Kami akan membuktikan untuk muncul sebagai sebuah kerajaan yang peduli nasib rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2023

- Advertisement -