
KUALA LUMPUR: Setelah lebih tujuh bulan memerintah, semua boleh melihat dan menilai apa yang kerajaan campuran PH-BN lakukan untuk rakyat selain berpolitik tanpa mengira tempat dan masa.
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan PH-BN juga sanggup berbohong kepada rakyat dengan memberi gambaran yang cantik-cantik sahaja, sedangkan realiti di bawah tidak sedemikian.
Menurutnya, kos sara hidup terus meningkat dan mencengkam hidup rakyat, ekonomi merudum, ringgit menjunam ke paras membimbangkan tetapi kerajaan dilihat tidak berbuat apa-apa.
“Secara jujur saya tidak menyangka setelah lebih tujuh bulan memerintah, masalah kerajaan campuran PH-BN ini begitu besar daripada yang dijangka,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosial, kelmarin.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat agar dapat keluar mengundi dan menjadikan Piihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini sebagai satu pungutan suara rasmi rakyat menolak sebuah kerajaan ‘cakap tak serupa bikin’ yang banyak menyusahkan hidup rakyat.
“Sekali lagi saya berpesan, walaupun PN berada dalam serba kekurangan, jangan sesekali mudah putus asa, terus berusaha perhebatkan jentera pilihan raya, insya-Allah kemenangan akan menjadi milik kita,” ujarnya.
Beliau yang juga Presiden Bersatu menulis demikian susulan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan, malam kelmarin.
“Alhamdulilllah, seperti di Kuala Terengganu malam semalam, saya melihat satu lagi fenomena manusia melaut hadir ke majlis ini, gambaran PERIKATAN NASIONAL terus mendapat sokongan rakyat dan menuju ke ambang kemenangan, insya-Allah,” katanya.
Tambahnya, seperti yang beliau tegaskan dalam ceramah-ceramah sebelum ini, PRN amat penting bagi mendapat mandat rakyat dalam memilih pemimpin bagi menentukan masa depan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, pilihan raya ini bukan sekadar untuk memilih seorang wakil rakyat tetapi lebih daripada itu memilih sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab, amanah, tidak rasuah, mendukung perlembagaan, adil dan saksama dalam sentiasa berusaha memajukan ekonomi negeri.
Beliau juga menegaskan bahawa PRN di Negeri Sembilan dan lima negeri lain merupakan referendum atau pungutan rasmi suara rakyat enam negeri sama mahu melihat kerajaan Putrajaya kekal atau sebaliknya. – HARAKAHDAILY 12/7/2023




















