
Penyerang Jepun, Kazuyoshi Miura, mungkin pemain bola sepak profesional tertua di dunia, tetapi masih belum bersedia untuk menyimpan kasut bolanya.
Semalam, pemain berusia 56 tahun itu yang juga dikenali sebagai King Kazu, menyambung tempoh kontrak pinjamannya dengan kelab divisyen dua Portugal, Oliveirense.
Bekas pemain antarabangsa Jepun, Miura yang memperoleh hampir 90 caps antara 1990 hingga 2000 dan menjaringkan 55 gol, menyertai Oliveirense pada Januari lalu secara pinjaman dari pasukan Liga J1 Jepun, Yokohama.
“Miura Kazu terus bersama UD Oliveirense,” kata kelab Liga 2 Portugal di Twitter, tanpa menyatakan tempoh kontrak baharu.
Pada November lalu, pemilik Yokohama yang juga pengendali restoran Onodera Group, menjadi pemegang saham majoriti Oliveirense.
Miura yang dianggap antara pemain bola sepak Jepun yang hebat, memulakan kerjaya profesionalnya di Brazil pada 1980-an, bermain untuk beberapa kelab seperti Santos, Palmeiras dan Coritiba.
Dia menyertai kelab divisyen dua, Yokohama pada 2005 dari kelab divisyen pertama Jepun, Vissel Kobe.
Miura juga mewakili pasukan futsal Jepun pada 2012 dan dipanggil untuk menyertai skuad ke Piala Dunia Futsal 2012 pada usia 45 tahun. – REUTERS











