
BANGKOK: Pemimpin Parti Sang Thai Thai, Khunying Sudarat Keyuraphan mengumumkan bahawa beliau telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai ahli parlimen.
Peletakan jawatannya yang diumumkan pada Selasa (11 Julai) akan menyaksikan Setiausaha Agung parti itu, Takorn Tantasith menggantikan beliau, lapor Thai PBS World.
Laporan awal menyebut bahawa beliau akan memindahkan kepimpinan parti kepada timbalan ketua, Anudith Nakornthap tidak lama lagi.
“Keputusan ini selaras dengan hasrat yang saya umumkan pada hari pertama penubuhan parti, bahawa saya akan menjadi tonggak kepada parti dan jambatan untuk menghubungkan semua lapisan masyarakat untuk bekerja untuk negara.
“Saya mahu menjadikan parti sebagai institusi politik yang benar-benar milik rakyat,” katanya.
Sudarat berkata beliau pertama kali menjadi ahli parlimen pada 1992 dan kali ini merupakan pemilihan keenam beliau dalam Dewan.
Beliau dilantik sebagai menteri di kementerian Pengangkutan, Dalam Negeri, Kesihatan Awam dan Pertanian dan Koperasi sepanjang 32 tahun beliau dalam politik.
Sehubungan itu, beliau menyatakan terima kasih kepada pengundi atas sokongan mereka pada pilihan raya umum, di mana enam daripada calon parti itu menang.
Beliau juga mengesahkan semula sokongan parti itu kepada Pita Limjaroenrat, pemimpin parti Move Forward, untuk menjadi Perdana Menteri Thailand seterusnya.
Sudarat menyeru agar senator mematuhi prinsip demokrasi dan tidak bertentangan dengan kehendak rakyat, kerana ia akan membawa negara kepada konflik baru.
Thai Sang Thai adalah sebahagian daripada gabungan Pita, yang menguasai sejumlah 311 undi Dewan (tidak termasuk Speaker Dewan).
Beliau memerlukan sekurang-kurangnya 65 undi daripada senator dan/atau ahli parlimen bukan gabungan untuk mencapai 376 undi, atau separuh daripada 750 ahli kedua-dua Dewan, untuk kelulusan jawatan perdana menteri.
Pengumuman Sudarat dibuat pada hari yang sama Perdana Menteri Prayut, Chan-o-cha mengisytiharkan bahawa beliau akan bersara daripada politik. – HARAKAHDAILY 12/7/2023




















