
KUALA LUMPUR: Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng mendakwa ‘gelombang hijau’ akan meruntuhkan tokong-tokong Buddha bertujuan untuk menakutkan masyarakat kaum Cina.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia berikutan laporan dari kajian banyak pihak bahawa DAP berkemungkinan akan hilang majoriti dua pertiganya pada PRN diadakan Ogos nanti.
“Akan berlaku gegaran besar di Pulau Pinang ni. Kerajaan di Pulau Pinang ni kalau dia menang pilihan raya ni pun, dia hilang dua pertiga majoriti. Itu mengikut kajian orang buat. Bukan kita (PAS) punya kajian.
“Kajian orang akademik, orang luar, NGO dan sebagainya, mereka kata kalau PH (Pakatan Harapan) menang pun di Pulau Pinang ni, dia tak akan dapat dua pertiga majoriti. Ini benda besar, dia (DAP) takut yang itulah,” ujarnya.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, sedangkan di Kelantan selama 33 tahun PAS memerintah dan sejak tahun 1950-an, tidak pernah kehidupan kaum bukan-Islam diganggu walau sedikitpun.
“Kelantan ni sebab kita duduk atas dasar Islam, maka sebab itu jaminan kita ni kepada orang Islam dan orang bukan-Islam. Siapa jadi rakyat kita ni, kita jaga belaka. Tak kira agama apa, bangsa apa.
“Sebab itulah di Kelantan ni ada tokong yang besar, yang baring, dan paling panjang di Asia Tenggara. Ini toleransi kita terhadap perbezaan kaum dan agama. Jadi kalau kita memerintah pun, kaum lain tak perlu bimbang,” ujarnya.
Dasar Islam yang dipegang PAS terangnya, menyuruh untuk berlaku adil kepada semua rakyat dalam pemerintahan termasuk kebebasan kepada penganut bukan-Islam untuk mengamalkan agama mereka.
Beliau turut mengimbau kisah di sebalik tragedi hitam negara iaitu peristiwa 13 Mei 1969 di mana terdapat anak-anak muda Kelantan yang marah dan bersedia pergi bergaduh di Kuala Lumpur.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Asri Muda ketika itu ceritanya, segera bertindak memanggil ketua-ketua mereka melarang tindakan itu serta mengingatkan untuk tidak mengapa-apakan kaum Cina di negeri itu juga.
Menurut Mohd Amar lagi, ancaman terhadap Islam di negara ini hakikatnya berbangkit daripada politik ekstrem DAP, sedangkan PAS memperjuangkan Islam bertindak untuk mempertahankannya.
Tambah beliau, kerana dasar Islam jugalah pemerintahan di Kelantan berjalan secara pentadbiran yang baik (good governance), penuh integriti dan tanpa rasuah berbanding Guan Eng terpalit kes terowong dan banglo. – HARAKAHDAILY 11/7/2023




















