Gunung berapi dekat ibu negara Iceland meletus

Letusan gunung berapi di Semenanjung Reykjanes, Iceland
- Advertisement -

OSLO: Sebuah gunung berapi meletus di Semenanjung Reykjanes di barat daya Iceland, berhampiran ibu negara Reykjavik.

Pejabat Meteorologi (IMO) Iceland berkata, gunung berapi itu meletus berikutan aktiviti gempa bumi yang kuat di kawasan itu.

- Advertisement -

“Ketika ini, letusan itu sangat kecil,” kata Matthew Roberts dari bahagian perkhidmatan dan penyelidikan di IMO. Beliau memberitahu bahawa kejadian itu tidak membahayakan orang ramai di kawasan itu.

Mengikut laman web Lapangan Terbang Antarabangsa Keflavik di Reykjavik, operasi lapangan terbang itu juga berjalan seperti biasa.

Pakar dari IMO akan menilai lokasi sebenar lahar muncul dan bagaimana letusan itu berkembang dalam beberapa jam akan datang.

Imej dan strim langsung oleh saluran berita tempatan MBL dan RUV menunjukkan lahar dan asap dari celah dalam tanah di sisi Gunung Fagradalsfjall.

Semenanjung Reykjanes ialah kawasan panas gunung berapi dan seismik di barat daya ibu kota Reykjavik. Pada Mac 2021, air pancut lahar meletus dengan kuat dari rekahan sepanjang 500-750 meter dalam tanah sistem gunung berapi Fagradalsfjall.

Aktiviti gunung berapi di kawasan itu berterusan selama enam bulan pada tahun itu, mendorong beribu-ribu penduduk Iceland dan pelancong melawat tempat kejadian. Pada Ogos 2022, letusan selama tiga minggu berlaku di kawasan yang sama.

Sistem itu yang berukuran sekitar enam kilometer lebar dan 19 kilometer panjang, kekal tidak aktif selama lebih 6,000 tahun sebelum dua letusan itu.

Berbanding letusan gunung berapi Eyjafjallajökull pada 2010, yang menghentikan kira-kira 100,000 penerbangan dan memaksa ratusan warga Iceland meninggalkan rumah mereka, letusan ini tidak dijangka memuntahkan banyak lahar ke atmosfera.

“Ini bukan letusan gunung berapi dengan abu. Ini hanya lahar,” kata Roberts dari IMO. – REUTERS

- Advertisement -