Guan Eng apikan provokasi kaum, agama untuk PRN

Momokan 'Gelombang Hijau' sebenarnya dibawa bapa beliau, Kit Siang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sedang mengapi-apikan sentimen serta provokasi perkauman dan agama yang sempit dengan menimbulkan tuduhan ekstrem ke atas ‘Gelombang Hijau’.

Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, hakikatnya momokan ‘Gelombang Hijau’ itu diletuskan oleh ayah Guan Eng iaitu veteran DAP, Lim Kit Siang pasca-PRU15 lagi.

Tempelak beliau, tuduhan yang dimainkan bahawa ‘Gelombang Hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang itu bertujuan hasutan dengan menimbulkan fobia dan ketakutan kepada bukan-Islam.

“Gelombang Hijau ini dibawa oleh Kit Siang sendiri, bapa Guan Eng. Sedangkan yang sebenarnya melanda negara ini adalah gelombang penolakan rakyat, bangkit menolak kebobrokan termasuk antaranya rasuah Umno dan rasis DAP.

“Lihat di Kelantan yang dipimpin PAS dan Terengganu, tidak pernah berlaku isu perkauman dan agama. Begitu juga di Kedah yang PAS-PERIKATAN NASIONAL (PN) telah memimpin lebih dua tahun setengah, juga tiada isu rasis.

“Bahkan sekolah Cina dan Tamil diberi bantuan oleh Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui PAS. Malah, semasa PN yang turut dianggotai PAS menerajui Kerajaan Persekutuan, langsung tidak membangkitkan isu perkauman.

“Ini jelas permainan DAP membangkitkan isu perkauman dan agama sempit seperti itu menjelang PRN enam negeri,” bidas beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut terhadap Ahli Parlimen Bagan itu.

China Press melaporkan, Guan Eng memberi amaran supaya menyekat ‘Gelombang Hijau’ yang akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan dari bertapak di Pulau Pinang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dipetik mengingatkan demikian semasa menghadiri acara keagamaan sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong yang diadakan di Jelutong, semalam.

Beliau juga dipetik mengungkap kata-kata yang berbaur ugutan apabila menyifatkan sesiapa menyokong ‘Gelombang Hijau’ sebagai ‘pembelot dan pemberontak’ yang akan dilaknat.

Bahkan laporan itu memetik Guan Eng menyatakan amaran bahawa Pulau Pinang bakal dilenyapkan di bawah pemerintahan ‘Gelombang Hijau’ dan dijadikan sebahagian daripada negeri Kedah.

Pemimpin DAP itu memetik kisah pencerobohan ketenteraan paling ganas dalam sejarah dinasti di negara China dahulu serta pengkhianatan pemimpin tentera selain mendakwa bahaya yang boleh diakibatkan ‘Gelombang Hijau’.

Pulau Pinang juga beliau dipetik berkata, akan dieksploitasi hak asasi di bawah ‘Gelombang Hijau’ selain akan mengharamkan minuman keras, judi, seluar pendek dan salun rambut uniseks. – HARAKAHDAILY 8/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -