Pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains perlu diteruskan

Dato' Iskandar Abdul Samad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor perlu meneruskan perancangan untuk membina satu Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) bagi setiap daerah.

- Advertisement -

Mantan Exco kerajaan negeri, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ketika PAS berada di dalam kerajaan Pakatan Rakyat negeri dari tahun 2008 hingga 2013, PAS telah menggesa pembinaan MITS tersebut.

Menurut beliau, hasrat PAS terkandung di dalam Manifesto PAS Negeri Selangor.

“Alhamdulillah pembinaan dua MITS ini telah bermula ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat itu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, kata beliau satu MITS telah mula dibina di Bagan Lalang, Sepang dan satu lagi di Pandan Indah, Hulu Langat di mana hari ini telah siap dibina dan beroperasi.

Mantan ADN Chempaka itu berkata, permohonan untuk memasuki MITS tersebut dan yang lain di Selangor adalah tinggi dan tempat sentiasa tidak mencukupi.

Katanya, bagaimanapun perancangan untuk membina satu MITS di setiap daerah kelihatan terhenti di bawah kerajaan Pakatan Harapan negeri dari tahun 2018 hingga 2023.

Beliau berkata memandangkan permintaan yang tinggi ini, pembinaan MITS itu perlu dimulakan semula oleh kerajaan negeri yang baharu selepas pilihan raya negeri tidak lama lagi.

“Rakyat perlu memilih kerajaan berdasarkan janji dan rekod parti-parti yang bertanding,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/7/2023

- Advertisement -