
LAS VEGAS: Pemain baharu San Antonio Spurs, Victor Wembanyama mendakwa penyanyi terkenal, Britney Spears telah memegang dan menarik dirinya dari belakang ketika dia berjalan masuk ke sebuah restoran mewah di Las Vegas untuk makan malam.
Insiden pada malam Khamis (6 Julai) itu menjadi kontroversi selepas Spears memfailkan laporan polis mendakwa telah ditampar oleh pengawal peribadi Wembanyama, lapor AP.
“Pengiring keselamatannya (Victor Wembanyama) telah menampar muka saya tanpa memandang saya di hadapan orang ramai, menyebabkan saya hampir terjatuh dan cermin mata saya terlepas dari muka saya,” kata Spears.
Wembanyama dalam kenyataannya pula berkata, dia tidak diberitahu pihaknya bahawa Spears adalah orang yang memegang dan menarik dirinya sehingga beberapa jam kemudian selepas kejadian itu.
Menurut Wembanyama, pihak keselamatan yang mengiringinya telah menasihatkan supaya tidak berhenti untuk melayan sesiapa sahaja ketika dia berjalan masuk ke dalam restoran itu, kerana jika dia berbuat demikian, ia boleh menarik perhatian ramai dan akan menyebabkan kekecohan berlaku di situ.
“Sesuatu telah berlaku, ketika saya berjalan di hadaoanb beberapa pengawal keselamatan untuk masuk ke dalam restoran itu, terdapat ramai orang di situ yang memanggil nama saya. Namun, saya tidak dibenarkan berhenti untuk melayan mereka atas sebab-sebab keselamatan.
“Namun, ada seseorang yang datang menghampiri saya dari belakang dan memanggil saya, ‘Tuan, Tuan, dan orang itu memegang dan menarik saya,” ujarnya.
Tambah Wembanyaman, dia tidak nampak apa yang berlaku kerana berjalan lurus ke hadapan dan langsung tidak berhenti.
“Orang yang mendekati saya itu pegang saya dari belakang – bukan di bahu saya, dia pegang saya dari belakang.
“Apa yang saya hanya tahu adalah pihak keselamatan telah menolak orang itu. Saya tidak tahu bentuk kekerasan yang dilakukan tetapi pihak keselamatan telah menolak orang itu,” jelasnya.
Spears, 41, yang memfailkan laporan dengan polis Las Vegas, berkata di Twitter dan Instagramnya bahawa insiden itu sebagai ‘sangat memalukan’, dan menafikan menarik Wembanyama, sebaliknya mengatakan dia hanya ‘menepuk bahu Wembanyaman untuk menarik perhatiannya’.
Menurut Spears, beliau menyedari kehadiran Wembanyama yang merupakan pemain bola keranjang pilihan nombor satu NBA tahun ini, lalu memutuskan untuk mendekatinya bertujuan mengucapkan tahniah atas pencapaiannya itu.
Spears berkata dalam catatan media sosialnya bahawa beliau pun sentiasa dikerumuni peminat sepanjang masa, termasuk pada malam kejadian, tetapi pasukan keselamatan yang mengiringi dirinya tidak pernah memukul sesiapa pun.
Baru berusia 19 tahun, Wembanyama yang mempunyai ketinggian 7 kaki 3 inci meraih perhatian dunia bola keranjang dari segi prestij permainan, fenomena yang kembali berulang dicetuskan legenda sukan tersebut, LeBron James pada 20 tahun lalu.
Sementara pihak polis Las Vegas berkata, laporan telah difailkan Spears mengenai kejadian di Aria Resort & Casino, tetapi tidak memberikan butiran lanjut, manakala peguam Spears, Mathew Rosengart pula enggan mengulas buat masa ini. – HARAKAHDAILY 7/7/2023




















