PRN: Calon PN diumum sebelum 29 Julai

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Nama calon-calon PERIKATAN NASIONAL (PN) akan diumumkan beberapa hari sebelum penamaan calon berlangsung pada 29 Julai ini.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, senarai nama calon mewakili PAS sudah dihantar ke Majlis Syura Ulamak dan sekarang menunggu keputusan akhir Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat.

“Semua senarai nama calon telah dihantar kepada Majlis Syura Ulamak untuk kelulusan, kemudian Jawatankuasa PAS Pusat akan pilih daripada senarai terbabit.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) menghantar lebih satu calon, kebanyakannya tiga calon. DUN Jeneri pun hantar tiga nama calon. Kalau tak lulus calon pertama, calon kedua dan seterusnya ada lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Penyerahan Bantuan Operasi kepada Pendidikan Agama di sini petang semalam. (Foto atas)

Pada majlis yang diadakan di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), 237 Institusi Pendidikan Agama yang mendaftar di bawah Jabatan Agama Islam Kedah, menerima bantuan operasi sebanyak RM5,000.

Peruntukan bantuan operasi tersebut diluluskan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) 28 Jun lalu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah menyarankan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir memberi sokongan kepada PN sekalipun parti Pejuang tidak berada di dalam gabungan itu.

Langkah itu katanya bagi mengelak parti terbabit berdepan dengan kerugian sekiranya bertanding pada PRN 12 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -