Bakar al-Quran jejaskan tawaran NATO Sweden

Polis Sweden menahan seorang pemuda Islam yang cuba melontar batu ke arah Salwan Momika di Stockholm, Sweden pada 29 Jun 2023 (FOTO: Aaj English TV)
- Advertisement -

ISTANBUL: Sweden gagal untuk meyakinkan Turkiye agar menarik balik sekatannya ke atas keanggotaan Stockholm dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan menjejaskan rundingan sebelum, susulan insiden al-Quran dibakar di ibu negara Sweden pada minggu lalu.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dilaporkan pada Khamis (6 Julai) berang dengan kerajaan Sweden kerana membenarkan protes bakar al-Quran yang dilakukan warga Iraq, Salwan Momika  di luar masjid pusat Stockholm pada hari raya Aidiadha, lapor Arab News.

“Mereka (kerajaan Sweden) yang membenarkan jenayah (bakar al-Quran)  itu dan patut dipersalahkan sama seperti pelakunya (Salwan Momika), katanya, sambil menambah bahawa  keahlian NATO tidak dapat dipertikaikan sehingga isu pembakaran al-Quran itu diselesaikan.

- Advertisement -

Erdogan juga sebelum ini menyelar Sweden berhubung insiden itu, dengan berkata Ankara tidak akan  sama sekali tunduk kepada dasar provokasi atau ancaman terhadap kesucian agama Islam.

“Kami akan memberi pengajaran buat orang Barat yang angkuh bahawa  kebebasan bersuara bukan untuk menghina nilai-nilai suci umat Islam,” tegasnya.

Turkiye sudah lama menentang keanggotaan Sweden dalam NATO atas dakwaan negara iu menyembunyikan aktiviti puak militan PKK dari Parti Pekerja Kurdistan.

Dalam kejadian pada 29 Jun lalu itu, waktu Sweden, seorang pemuda Islam ditahan polis Sweden selepas dia cuba melempar batu ke arah Momika, 37, yang sebaliknya dibenarkan meneruskan perbuatan jahatnya membakar al-Quran di luar masjid berkenaan.

Dalam pada itu, Sweden berkata ia telah memenuhi tuntutan yang dipersetujui dalam rundingan dengan Turkiye, termasuk pengenalan rang undang-undang yang menjadikan menjadi ahli organisasi pengganas tidak sah. 

Kerajaan negara itu  juga sedang melihat sama ada ia boleh menyalahkan kejadian pembakaran mana-mana kitab suci mengikut lunas undang-undang, yang mana tindakan seperti membakar al-Quran pada masa ini dilindungi oleh undang-undang Sweden yang meluas mengenai kebebasan bersuara.

“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada perintah semasa itu baik atau sama ada ada sebab untuk mempertimbangkannya semula,” kata Menteri Kehakiman Sweden,  Gunnar Strommer pada Khamis. 

“Kami dapat melihat bahawa insiden pembakaran al-Quran pada minggu lepas di Stockholm telah menjana ancaman terhadap keselamatan dalaman Sweden,” tambahnya.

Rundingan mengenai keahlian NATO Sweden akan diteruskan pada Isnin (9 Julai) sebelum sidang kemuncak NATO di Vilnius, Lithania. 

“Kami berharap ia akan mencapai keputusan yang positif,” kata Menteri Luar Sweden, Tobias Billstrom.

Terdahulu, pada Isnin (3 Julai lalu), Iraq melalui kenyataan jurucakap Kementerian Luar Negerinya, Ahmes al-Sahhaf dilaporkan telah menggesa Sweden agar Momika yang merupakan imigran dari Iraq diekstradisi.

“Salwan Momika yang membakar kitab suci al-Quran di Stockholm itu merupakan  warga negara Iraq, jadi kami menuntut kerajaan Sweden mengekstradisi Salwan ke Iraq untuk diadili sesuai dengan undang-undang negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -