Umno perlu ingat semula siapa sebenarnya DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan ketika ini tidak memiliki asas yang teguh kerana dibina oleh pakatan yang mempunyai kepentingan diri masing-masing dan dikuasai oleh DAP.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, DAP dengan kerusi terbanyaknya dalam pakatan itu menggunakan kesempatan dan manipulasi atas kelemahan yang ada.

Beliau merujuk kepada kegilaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dan kes pertuduhan di mahkamah yang banyak dihadapi oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Sanusi, rakyat mesti mengingati semula siapa sebenarnya DAP yang sebelum ditubuhkan pada tahun 1963 adalah PAP Singapura dan kesetiaan mereka kepada tanah besar China. 

“Master mereka di sana, tapi dalam dalam politik negara kita ini selepas peletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM) di Hatyai perjanjian 1989, ramai ahli-ahli PKM menetap di Thailand atau balik Malaysia menyertai parti politik.

“Saya yakin parti yang selari dengan perjuangan komunis untuk mewujudkan satelit China di negara kita di Semenanjung Tanah Melayu ini adalah DAP. Jadi tidak mustahil perkara-perkara yang telah digagalkan diperjuangkan (semula),” ujarnya.

Terang beliau, PKM yang telah dilumpuhkan oleh angkatan tentera atau pasukan keselamatan negara, namundengan sokongan British walaupun tidak mengangkat senjata, tetapi menumpang kemenangan dalam parti politik.

“Umno sendiri menumpang satu parti politik yang sangat tersasar budaya dan perjuangan mereka dengan tradisi ataupun apa yang kita ada di Tanah Melayu ini,” ujarnya menasihati parti Melayu itu agar tidak dipergunakan DAP. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -