Selangor maju bukan kerana PH bijak memerintah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selangor dalam mencapai kemajuan pembangunan negeri tidak layak disandarkan sebagai model atau kejayaan dari kebijaksanaan pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana Selangor menumpang tuah dan segala kepesatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berada dalam negeri tersebut.

Menurut beliau, berbanding pembangunan yang merebak ke bandar-bandar dalam Selangor, banyak daerah lain di negeri itu di mana jauh dari Kuala Lumpur berada lebih kurang dengan negeri lain.

“Apa yang sedang kita buat di negeri-negeri di Terengganu, di Kelantan, di Kedah pada waktu ini pun kita nak buktikan bahawa walaupun berada jauh daripada Kuala Lumpur, di Utara Semenanjung (tetapi) kita juga mampu menarik pelabur.

“Ini yang menjadi ketakutan mereka (hingga) Kedah ni mesti dijatuhkan. Kerana kalau dibiarkan akan ada satu kuasa baru dalam politik negara ini iaitu PAS dan Perikatan Nasional (PN) akan memimpin satu pembangunan.

“(Juga) satu lonjakkan yang lebih baik jauh lebih baik apa yang telah ada di sini. Kalau tahun 2021 kita terima RM68.3 bilion, tahun 2022 RM13.4 bilion dan suku pertama 2023 kita dah terima RM5 bilion,” maklumnya.

Kedah jelas Sanusi, sedang melonjak sebagai satu kuasa besar dan ia mesti dirampas agar kebangkitan hasil dari kemasukan pelabur itu dapat dipungut sebagai kejayaan Kerajaan PH.

Demikian itu kata beliau, serangan bertali arus dibuat ke atas negeri tersebut untuk merampasnya dan Kedah seperti ‘dara pingitan’ yang menjadi rebutan kerana perubahan politik besar akan disebabkannya.

“Berasaskan pembetulan kepada sejarah yang telah dipesongkan. Ini ini pun yang cuba dihalang seboleh-bolehnya oleh DAP dan menggunakan Perdana Menteri yang terpaksa menurut kehendak mereka.

“Sebab itu projek Lapangan Terbang (Antarabangsa Kulim – KXP) yang dijangka akan memberi saingan kepada Pulau Pinang dihalang. Apa-apa dia tak mahu jadi projek ni walaupun tak pakai sekupang pun duit Federal.

“Dia (Perdana Menteri) tak mahu bagi juga. Pasal ada desakan daripada DAP di Pulau Pinang,” bidas Sanusi terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana tidak memberi kelulusan berkenaan. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -