Kerajaan PH-BN gugup dan gagal – Naib Presiden PAS

Gugup dengan sokongan kepada PN, gagal tangani masalah ekonomi rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dilihat sedang gugup mendepani situasi politik semasa dan gagal dalam tadbir urus pemerintahan kerajaan.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad mengulas reaksi beberapa pemimpin PH-BN yang mendakwa mempunyai sokongan kuat untuk mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Malah, mereka menyatakan dengan begitu yakin akan dapat memberikan tentangan sengit serta berpotensi merampas Kedah dan Kelantan daripada dominasi PN dalam PRN enam negeri nanti.

Pun begitu, mereka dilihat memberi motivasi palsu dengan janji akan mendedahkan data mengenai perkara itu, sedangkan para penganalisis politik menunjukkan dapatan kajian sebaliknya.

Jelas Ustaz Idris, PH-BN sebenarnya gugup dengan gelombang sokongan semasa rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) yang ditunjukkan menerusi undian atas talian dan kajian pakar-pakar.

“Misalnya undian dibuat Sinar Harian menunjukkan 63 peratus sokongan kepada PN, 23 peratus PH dan 2 peratus untuk MUDA. Dia (PH) kata dapat tawan negeri-negeri diperintah PN, itu biasalah.

“Masa PRU15 yang lalu pun dia (menerusi) INVOKE kata begitu juga. Tetapi hasil keputusan akhir adalah sebaliknya,” ulas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Menurutnya, PH terlalu gusar kerana hanya 11 peratus orang Melayu mengundi mereka pada PRU15 lalu dan penipuan yang dibuat mereka pasca-PRU15 telah memberi keraguan dalam kalangan penyokong PH.

Jelas beliau, para pengundi PH terutamanya masyarakat kaum Cina merasakan mereka ditipu antaranya berkaitan menentang rasuah dan korupsi Umno, tetapi akhirnya undi PH akan dapat Umno juga.

“Jadi mereka (pemimpin PH) cuba untuk alih perhatian dengan idea kononnya mereka ada sokongan. Indikator mana mereka guna? Sumber kajian mana mereka rujuk? 

“Kalau lihat di lapangan pun mereka jauh ketinggalan dalam mendapatkan sokongan,” ujarnya mencari rasional terhadap dakwaan para pemimpin PH yang dilihat terdesak menjelang PRN enam negeri.

Begitu juga reaksi penafian para pemimpin PH-BN yang menerajui kerajaan dengan mendakwa keadaan ekonomi negara ketika ini bukan disebabkan faktor dalaman, tetapi adalah kerana situasi luaran atau global.

Ustaz Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan penafian seperti itu menunjukkan kerajaan ketika ini gagal mencerap situasi sebenar dihadapi oleh rakyat.

Jelas beliau, kos sara hidup ketika ini begitu menekan di mana banyak harga barangan telah naik, termasuk terbaharu harga beras yang menuntut pemantauan ke lapangan diperluaskan oleh menteri-menteri berkaitan.

“Jangan pergi hypermarket sahaja. Pergi turun tengok sendiri di pasar-pasar (harian), buat ukuran dan bandingan. Di situ yang jadi denyut nadi rakyat, di situ rakyat mendapatkan barang keperluan,” gesanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -