
PORT DICKSON: Kemenangan besar calon PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak dapat dinafikan turut disumbang pengundi dalam kalangan ahli dan penyokong Umno.
Ahli Parlimen PN Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim berkata, situasi itu dapat dibuktikan di parlimen Arau pada PRU15 di mana beliau mendapat sebanyak 31,000 undi.
Sedangkan katanya jumlah jumlah ahli PAS di Arau ada 11,000 orang dan Bersatu 3,000 orang di mana jumlahnya 14,000 orang.
“Saya dapat 31,000 undi. Jadi siapa yang sokong saya? Malah ahli dan penyokong Umno di seluruh Perlis sebahagian besar mengundi PN,” katanya pada ceramah Gelombang Nismilan Kito Ubah di perkarangan Markas PAS Port Dickson di sini malam tadi.
Kata beliau juga ketika beliau menyertai PAS, pengikut-pengikutnya masih lagi berada dalam Umno.
“Di antara orang yang menyokong saya ialah ahli Umno. Pengundi Negeri Sembilan juga kena buat perubahan. Kalau mahu Umno masih bertahan kena pakat sokong PN,” ujar beliau.
Beliau turut yakin situasi serupa akan berlaku di Negeri Sembilan, di mana penyokong Umno akan memberi sokongan kepada calon PN sebagai protes terhadap kerjasama Umno-DAP.
Malah kata beliau sekiranya mereka terus mengundi Umno, parti itu diyakini tidak mampu mengulangi kejayaan seperti sebelum 2008.
“Umno dijangka bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.
“Dan Pakatan Harapan (PH) pula bertanding di 20 kerusi. Jadi mana mungkin Umno boleh menduduki semula kerusi Menteri Besar. Penyokong Umno nak tunggu apa lagi?” ujarnya.
Beliau juga berkata, ahli-ahli Umno di Negeri Sembilan tidak perlu keluar parti itu, namun hanya perlu mengundi PN pada PRN tidak lama lagi.
Pada majlis tersebut Dr Shahidan turut melancarkan jentera pilihan raya PN Parlimen Port Dickson. – HARAKAHDAILY 3/7/2023




















