
PORT DICKSON: Konflik dalaman Umno tidak mampu disembunyikan lagi apabila ramai pemimpin di peringkat akar umbi meluahkan perasaan kecewa terhadap kepemimpinan parti itu sekarang.
Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau dihubungi ramai kenalan dalam Umno yang kecewa terhadap apa yang sedang berlaku dalam Umno sekarang.
Menurutnya ramai ahli dan penyokong Umno kecewa setelah parti itu bekerjasama dengan PH-DAP bagi membentuk kerajaan campuran di bawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Saya terima banyak mesej daripada kawan-kawan lama yang masih lagi bersama Umno, mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam parti itu sekarang.
“Mereka berada dalam keadaan serba salah. Walau pun mereka hadir ke program anjuran PH, namun hakikatnya hati mereka sakit dan tidak boleh menerima apa yang berlaku sekarang,” katanya selepas ceramah Gelombang Nismilan Kito Ubah di pekarangan Markas PAS Port Dickson di sini, malam tadi.
Hadir sama Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan pemimpin PN tempatan.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, pemimpin Umno dicadang turun padang bagi melihat tahap sokongan akar umbi terhadap parti terbabit sekarang.
“Saya minta mereka berpijak di bumi yang nyata, turunlah ke bawah, dengar sendiri suara pemimpin akar umbi bagi mendapat gambaran sebenar sama ada Umno masih mendapat sokongan atau sebaliknya.
“Pemimpin Umno jangan tenggelam dalam denial syndrome kerana tidak mahu menerima hakikat penolakan sedang berlaku dalam parti itu,” ujarnya.
Beliau juga berkata, petugas PN hendaklah mendekati ahli-ahli Umno dan PH yang kecewa terhadap kepemimpinan parti terbabit bagi menarik mereka menyokong PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menurutnya beliau pernah memanfaatkan situasi itu ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sehingga PN memenangi tiga daripada enam kerusi Parlimen di Melaka.
“Ini antara kaedah yang sesuai menarik ahli-ahli Umno memberi sokongan dan membantu jentera PN kerana mereka kecewa pemimpin Umno bersekongkol dengan PH-DAP,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2023




















