
MASALAH air di Kelantan telah diberikan penjelasan berulang kali menjawab setiap persoalan dan pertikaian yang dibangkitkan. Ada yang sememangnya ingin tahu, tetapi ada juga pemain isu dengan sengaja mahu menimbulkan kegawatan.
Apapun punca, keadaan dan jangkaan kepada masalah yang dibangkitkan serta penerangan diberikan, semua mengakui ia sentiasa berlaku dan ditangani. Paling penting, di pihak manapun diwakili, jangan ada penafian dan penolakan.
Penerangan kali ini mahu memberi penjelasan dari perspektif permasalahan air tidak terhasil atau non-revenue water (NRW). Ia merupakan punca dan akibat, serta rantaian dan putaran kepada masalah ini.
NRW ini sebenarnya bukan masalah yang dihadapi di Kelantan sahaja, semua negeri juga hakikatnya melalui masalah sama. Untungnya, negeri lain telah menangani sejak sekian lama, bahkan meningkatkan lagi usaha ‘menentang’ masalah ini.
Kelantan pula sudahlah ketinggalan sekitar 15 tahun, ditambah sekatan peruntukan kewangan untuk bergerak ke hadapan. Akhirnya berlakulah keadaan yang disebut dalam pengurusan sebagai ‘lost development years’.
Bermakna keperluan semasa ketika 33 tahun dahulu bukan sahaja tidak mencukupi, tetapi semakin dimamah usia menjadikan aset yang ada usang dan uzur. Maka terjadilah NRW yang semakin membesar di mana Kelantan mencatat hampir 52 peratus.
Sedangkan bersama pergerakan masa, keperluan atau permintaan air bersih atau air terawat di Kelantan semakin meningkat. Ia selaras dengan pertambahan penduduk dan pembangunan melibatkan pembukaan kawasan baharu.
Setakat tahun 2020 dahulu, keperluan air terawat adalah sebanyak 512 juta liter sehari (JLH) untuk hampir 1.8 juta penduduk. Tetapi dianggarkan dalam beberapa tahun terdekat ini jumlah keperluan itu akan meningkat kepada 800 JLH.
Kerana Kelantan juga sedang rancak membangun dengan menerima pelabur baharu dan tambahan pelaburan serta pembukaan bandar-bandar baharu. Tetapi keupayaan setakat semasa hanya mampu mengeluar air 484.5 JLH.
Itupun hasil dari loji rawatan air dan segala peralatan serta pembaikan dan penukaran termasuk naik taraf telah dibuat setakat Mei 2023. Namun, dengan NWR yang tinggi, jumlah air yang sampai kepada pengguna hanya sekitar 250 JLH.
Jadi bagaimana mungkin cukup dengan keperluan, apatah lagi untuk memenuhi permintaan hari mendatang yang semakin meningkat? Jika aspek pemprosesan sahaja ditambah dan dinaik taraf ia tidak menyelesaikan masalah.
Kerana komponen penyaluran atau pengagihan juga sangat berkait rapat dan penting di mana melibatkan tangki dan jajaran perpaipan. Ada yang mempersoalkan kenapa tidak digunakan sahaja lori tangki?
Mudahnya sangat melontar soalan, tetapi berapa banyak lori tangki yang boleh membawa tidak sampai 1,000 liter diperlukan untuk air sebanyak hampir 500,000,000 liter? Bayangkan pergerakan atau perjalanan ulang alik lori itu?
Berapa ‘trip’ terpaksa diadakan dan kesesakan jalan raya diakibatkannya? Nanti ia pula berdepan penyelenggaraan dan tenaga manusia yang meleleh kerananya. Semua itu kos yang dalam realitinya boleh menyebabkan tarif air terpaksa dirombak.
Semua pengguna tentu tidak mahu air mahal. Jadinya, kaedah yang juga sepertimana digunakan dalam pelbagai sektor lain adalah menggunakan jaringan perhubungan sebagai kaedah penyaluran atau agihan iaitulah perpaipan.
Malangnya Kelantan, disebabkan paip lama yang usang dan uzur itu, lebih separuh air diproses atau dirawat, ‘hilang di tengah jalan’. Ianya bocor atau memancut keluar dari saluran perpaipan bahkan mungkin habis sebelum sampai ke pengguna.
Tetapi yang pasti, jumlahnya tidak mencukupi yakni kurang untuk tiba di paip pengguna, malah di kawasan lebih jauh atau penghujung, mereka tidak dapat langsung. Air itu membazir begitu sahaja yaknilah tidak mendatangkan hasil.
Sebab itu dalam perkhidmatan perbekalan air ini, usaha ke atas NRW tidak terpisah sebagaimana juga dalam permohonan Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan. Sebanyak RM1,700,000,000 dimasukkan dari sebahagian RM8 bilion dipohon baru-baru ini.
Pada tahun 2018, sepanjang 186 kilometer (km) paip Asbestos Cement (AC) lama sedang diganti dan telah siap 91km daripadanya di Kota Bharu, Tumpat dan Gua Musang. Tahun 2019 sejauh 249.58 lagi diganti di Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai.
Tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 pada 2020, banyak kerja terhenti dan tender semula. Hanya setelah itu, yakni dari tahun 2021 hingga kini, penggantian dilakukan di Bachok melibatkan 220.92km.
Tetapi jumlah keseluruhan penggantian ini sebenarnya melibatkan keperluan jajaran sepanjang 4,006km untuk mengatasi NRW tersebut. Jangan tuduh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak mempunyai pelan untuk mengatasinya.
Persediaan dan persiapan dalam erti kata kesanggupan melaksanakannya sudahpun ada khususnya bagi tahun 2023 hingga 2028. Iaitu Kota Bharu (767.29km), Pasir Puteh (420.81km), Gua Musang (187.93km), Tumpat (323.01km), Machang (314.61km), Kuala Krai (197.56km), Tanah Merah (347.63km), Pasir Mas (672.28km) dan Jeli (163.92km).
Tetapi sepertimana yang ramai telah maklumi (kecuali mereka yang sengaja menutup penglihatan dan pendengaran serta pengetahuannya), permohonan untuk RM8 bilion itu tidak sedia dipenuhi Kerajaan Pusat.
Dimaklumkan, sekitar RM4 bilion sahaja sedia dipertimbangkan dan seperti diumumkan, RM1.7 bilion sahaja diluluskan di mana bagi tahun 2023 ini, cuma RM500 juta dahulu diberikan, itupun tidak pasti ianya geran atau pinjaman?
Jadi adillah dalam memperdebatkan sekalipun, jangan hanya di pihak Kelantan yang dipertikai, sebaliknya desakan juga perlu diajukan kepada Kerajaan Persekutuan kerana tanggungjawab berkaitan air kini adalah urusan ‘Bersama’.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 30/6/2023






















