Campur tangan dan guna kuasa Menteri DAP memalukan

- Advertisement -

SALAH satu prinsip Rukun Negara adalah ‘Keluhuran Perlembagaan’ dan ‘Kedaulatan Undang-undang’ yang memberi makna rakyat Malaysia perlu taat, mematuhi dan menjunjung setiap peraturan dan undang-undang negara, termasuklah undang-undang dan peraturan negeri dan pihak berkuasa yang dibuat berdasarkan kuasa yang diberi Perlembagaan Persekutuan dan Negeri.

Rakyat Malaysia pelbagai kaum selama ini hidup aman dan damai, kerana setiap undang-undang dan peraturan dalam negeri dan negara dihormati dan dipatuhi rakyat. Yang melanggar akan dikenakan tindakan dan didakwa, itu satu norma yang diterima dan tidak pernah dipertikaikan.

Dalam satu insiden seorang peniaga wanita didenda oleh pihak penguatkuasa MPKB-BI baru-baru ini kerana berpakaian tidak sopan bertentangan dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019. Cukup mengecewakan apabila isu ini dipolitikkan pihak DAP.

Difahamkan ayah angkat wanita berkenaan telah hadir secara sukarela ke Pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BI) bersama Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, untuk berunding dan akhirnya bersetuju membayar kompaun RM50 atas kesalahan berkenaan.

Selesailah kes, bermakna prinsip Rukun Negara dipatuhi rakyat Kelantan. Malangnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerajaan PH-BN, Nga Kor Meng dari DAP telah mengutuk tindakan membayar kompaun itu.

Beliau mendakwa telah mengarahkan Yang Dipertua MPKB-BI untuk membatalkan kompaun berkenaan, malah DAP dilaporkan menyediakan peguam untuk mencabar kompaun itu di mahkamah.

Beginikah patutnya reaksi dan sikap seorang Menteri yang mewakili negara dan rakyat Malaysia?

Pimpinan negara sepatutnya mengajak rakyat mematuhi dan menghormati undang-undang selaras dengan prinsip Rukun Negara. Semua jenis dan bentuk undang-undang yang terpakai dalam negara diluluskan mengikut punca kuasa yang diberikan undang-undang induk negara atau negeri iaitu Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri.

Menggunakan kedudukan untuk mengarahkan dibatalkan satu-satu kompaun yang dikeluarkan kerana kepentingan politik adalah tindakan salah-guna kuasa dan Menteri mesti dipertanggungjawabkan.

Malulah pada rakyat Kelantan tidak kira bangsa Melayu, Cina atau India yang mematuhi dan menghormati undang-undang. Malulah pada rakyat Malaysia. Menteri gagal dan memalukan. 

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 30/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -