
KUALA LUMPUR: Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS) memohon agar Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (tahfiz) Persendirian yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor pada 21 Disember 2020 dan kuatkuasa 1 Januari 2021 turut dibentangkan kepada pihaknya, dan terpakai kepada semua Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) di Selangor.
Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Isu Pendaftaran Sekolah Islam Persendirian Selangor di bawah GASIS, Ustazah Nor Zarina Mohd Azhar berkata, pihaknya idak berniat untuk memburukkan mana-mana pihak dalam usaha mendapatkan lesen pendaftaran sekolah atau Surat Akuan Pendaftaran untuk SIP dalam negeri Selangor.
“GASIS maklum berkenaan Program Pemutihan Tahfiz sepertimana yang telah dikongsikan oleh Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), kepada Pengerusi GASIS sebelum ini.
“Namun program tersebut hanya kepada Institusi Maahad Tahfiz yang berdaftar dengan PITAS sahaja,” katanya kepada HarakahDaily.
Menurut beliau, GASIS tidak menafikan bahawa program pemutihan tersebut memberi manfaat dan membantu kelangsungan operasi institusi tahfiz dan sekolah agama persendirian
“GASIS juga menafikan sama sekali memburuk-burukkan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan taraf sekolah-sekolah agama di Selangor.
“Maka ,GASIS telah berusaha untuk bertemu dengan pihak Exco Hal Ehwal Agama Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini untuk mendapatkan nasihat dan polisi tentang permohonan garis panduan pemutihan berkenaan, namun permohonan membuat kunjungan dari GASIS tidak mendapat jawapan ketika itu.
“Usaha GASIS untuk bertemu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini juga tidak kesampaian,” kongsi beliau.
“GASIS amat terbuka dengan pihak Exco Agama, JAIS, pihak berkuasa tempatan (PBT), Bomba dan Kesihatan, juga mana-mana pihak yang terkait untuk duduk semeja menyelesaikan isu-isu pendaftaran ini
Menurutnya lagi, impak SIP yang tidak mendapat kelulusan dari PBT, Bomba dan Kesihatan menyebabkan pihak JAIS tidak mengeluarkan Surat Akuan Perdaftaran seterusnya akan memberi impak yang lebih besar iaitu murid tahun 5 dan tahun 6 tidak boleh mengambil Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA); selain SIP terbabit tidak berkelayakan mendapat apa-apa bantuan.
“Kesan yang membimbangkan dan ditanggung ketika ini adalah Sekolah-sekolah Islam Persendirian (SIP) terancam diarahkan tutup operasinya serta saman dari pihak PBT,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2023




















