
KOTA BHARU: Bekas Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah memberi kenyataan pada 13 Mei 1968 berupa amaran bahawa Singapura akan memerintah Malaysia sekiranya DAP berkuasa.
Bekas Pengerusi Umno Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar mengulangi peringatan mengenai bahaya DAP itu sebagai penegasan terhadap gugatan dan ancaman boleh ditimbulkan parti tersebut menerusi politik.
“Ramalan-ramalan ini tak mustahil jika terjadi, bila dah berlaku nanti menangis air mata darah pun dah tak berguna lagi. Kalau dah pernah berlaku, bolehkah berlaku? Tak mustahil boleh berlaku kalau DAP berkuasa.
“Kalau mengikut Perlembagaan, Perkara 2, memang Singapura boleh masuk balik ke Malaysia. Dan kena ingat juga dalam Perlembagaan negara kita, tak sebut orang Melayu itu mesti jadi Perdana Menteri.
“Bermakna bukan-Melayu pun boleh jadi Perdana Menteri kalau seorang Ahli Parlimen itu mendapat sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat,” ujarnya pada program Sembang Santai sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.
Jelasnya, penolakan untuk bersama DAP bukanlah kerana sentimen perkauman, tetapi disebabkan ideologi parti itu di mana perlembagaannya memperjuang bagi mencapai hak sama rata.
Beliau turut menceritakan pengalaman berdepan pihak-pihak yang mempertikaikan pengertian kebebasan beragama diberikan Perlembagaan, selain isu penggunaan kalimah Allah dalam Injil dan akhbar dari Sarawak.
Juga ceritanya, pertikaian berkaitan peruntukan kepada agama-agama selain hak keistimewaan Bumiputera seperti dalam perkhidmatan awam dan pengambilan ke dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu malah mengimbas situasi semasa DAP dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan dahulu yang membangkitkan banyak isu sensitif dan menggugat.
Antaranya sebut beliau adalah isu tulisan Jawi, komunis dan abu mayat Chin Peng serta Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). – HARAKAHDAILY 23/6/2023




















