Peruntukan: Kerajaan PMX tidak berjiwa besar seperti MB Kedah

Ir Ts Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

PAS mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana memberi peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada kerajaan mahupun pembangkang tanpa syarat.

- Advertisement -

Dalam pembentangan Belanjawan Kedah lalu, YAB MB mengumumkan peruntukan untuk ADUN pembangkang setahun RM50,000 dan RM2,000 setiap bulan untuk pengurusan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR).

Inilah keadilan, keterbukaan dan berjiwa besarnya Kerajaan PERIKATAN NASIONAL Kedah dalam memberi khidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik dan kaum mahupun agama.

Ia satu tamparan hebat kepada kerajaan Madani PH-Umno pimpinan Perdana Menteri ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sehingga kini tidak memberikan peruntukan kepada semua ahli parlimen pembangkang.

PMX seharusnya malu dengan keterbukaan yang ditunjukkan oleh YAB MB Kedah yang memberi peruntukan tanpa syarat kepada semua ADUN Kedah, sebaliknya PMX masih lagi tidak terbuka untuk melakukan perkara yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang.

PAS ingin mengingatkan kerajaan Madani PH-Umno agar jangan sampai ahli-ahli parlimen ini termasuk ke dalam laporan SUHAKAM sebagai individu yang tidak mendapat hak asasi mereka sebagai wakil rakyat yang sah dipilih oleh rakyat.

“Malaysia Sejahtera”

YB IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Jerantut
Bertarikh: 4 Zulhijjah 1444 | 23 Jun 2023 – HARAKAHDAILY 23/6/2023

- Advertisement -