
BANDAR BARU BANGI: DAP kini bukan sahaja berkuasa, tetapi akan menggunakan kuasa jika peluang diberikan kepada parti itu.
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Parlimen Bangi, Mohd Shafie Ngah, berkata kuasa itu akan digunakan walaupun peluang kuasa itu hanya sedikit.
Beliau menceritakan pengalamannya ketika menunggu untuk menaiki kapal terbang ke Kuala Terengganu di Terminal KLIA 2, baru-baru ini.
“Sementara menunggu `check in (daftar masuk), kita tunggu di tempat selesa sambil menonton televisyen di KLIA 2. Saya terkejut dan tertanya-tanya, semua rancangan dan wajah yang keluar di televisyen yang dipaparkan di KLIA 2 adalah ahli DAP…mengejutkan. Ini tak berlaku sebelum ini.
“Semuanya diulang tayang, pemimpin yang serupa, mana pergi pemimpin lain? Tak tahu. Ini menunjukkan betapa berkuasanya mereka dan berapa menggunakan kuasa jika peluang diberikan kepada mereka,” katanya ketika program Jelajah Selangor Baharu dan pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Bangi di sini, malam tadi.
Turut hadir Setiausaha PN Selangor, Dr Afif Bahardin; Timbalan Pengerusi PN Parlimen Bangi, Datuk Wan Saiful Wan Jan; bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar serta Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Beliau berkata, perkara yang dibangkitkan ini tidak berkaitan dengan identiti bangsa, tetapi peluang yang diberikan kepada DAP, walaupun sedikit pun akan digunakan sepenuhnya supaya rakyat Malaysia berasa norma baharu diterima oleh semua. – HARAKAHDAILY 18//6/2023




















