
GUA MUSANG: Kelantan dijangka memperolehi sebanyak RM1.7 bilion selepas jawatankuasa teknikal yang dianggotai kerajaan negeri dan pusat memperhalusi permohonan projek penggantian paip usang.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, hasil pertemuan dengan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru beliau meminta sebuah jawatankuasa khusus ditubuhkan untuk menilai dan meneliti permohonan tersebut.
“Setakat ini kelulusan awal kira-kira RM1.7 bilion akan diterima setelah jawatankuasa tersebut mengangkat cadangan kepada Perdana Menteri,” katanya selepas majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Jajahan Gua Musang, di Felda Chiku 2 di sini, semalam.
Media sebelum ini melaporkan proses penggantian paip di Kelantan memerlukan suntikan dana sebanyak RM1.7 bilion bagi menyelesaikan masalah bekalan air di negeri tersebut.
Anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Sr Azami Mohd Nor baru-baru ini memberitahu sehingga 25 Mei lalu sepanjang 412 kilometer (km) paip usang daripada jumlah keseluruhan paip 4,006 km sudah ditukar menerusi pembiayaan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB). – HARAKAHDAILY 16/6/2023




















