
KUANTAN: Berita serbuan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di kediaman Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin didakwa helah politik murahan kerajaan campuran bagi memberikan imej buruk kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dato’ Seri Saifuddin Abdullah mendakwa kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH)-DAP dan Barisan Nasional (BN) terdesak sehingga terpaksa menggunakan strategi tersebut.
“Ketika ini (PH+DAP+BN) tak berkesan sebagai kerajaan dan harus memburuk-burukkan pimpinan kanan dalam Bersatu dan dalam PN, dan inilah yang sedang berlaku.
“Saya menganggap ini adalah helah politik yang murahan ketika PH-DAP-BN ‘desperate’ untuk berhadapan dengan pilihan raya negeri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas berita mengenai serbuan oleh pegawai LHDN di rumah Hamzah di Damansara, Kuala Lumpur.
Dilaporkan, dalam serbuan dan penggeledahan 11 pagi Selasa itu, beberapa dokumen turut dirampas.
Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan ada menghubungi Hamzah bagi mendapatkan cerita sebenar tentang apa yang berlaku.
“Yang dikatakan (perkara) yang hendak disiasat itu ialah perkara yang sama sebelum ini kononnya telah disiasat,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu lagi.
Beliau turut mempersoalkan dari mana media mendapat berita berkenaan melainkan ia didedahkan oleh pihak tertentu.
“Apa niat di sebalik siasatan tersebut dan kenapa keluar di media, dari mana punca cerita itu kepada media, betul ke dari LHDN atau dari pejabat orang lain. Yang saya tahu berita itu bukan keluar dari LHDN, dari pejabat lain,” ujar beliau.
Media sebelum ini ada melaporkan rumah Ketua Pembangkang itu diserbu dan digeledah oleh pegawai daripada LHDN.
Pada Februari lalu, Ahli Parlimen Larut itu menuduh kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik selepas agensi terbabit membekukan akaun Bersatu.
Hamzah kemudiannya menafikan terbabit dengan kes rasuah berjumlah RM15 juta selepas namanya terdapat dalam kertas pertuduhan terhadap ahli perniagaan, Sim Choo Thiam.
Sim didakwa pada Mei lalu atas tuduhan meminta RM15 juta daripada seorang ahli perniagaan Hep Kim Hong, pada Jun 2021.
Pendakwaraya berkata wang itu sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd mendapatkan projek daripada kementeriannya.
Sim juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan menerima RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan itu.
Hamzah berkata, pertuduhan mengaitkannya sengaja dibuat untuk mencemar namanya sebagai bekas menteri di kementerian itu. – HARAKAHDAILY 16/6/2023




















